25 Jul 2011

Bekas Pemimpin UMNO Tolak Najib, Ku Li Gesa Bersihkan Negara

Bekas pemimpin BN juga tidak percaya Najib

TASEK GELUGOR, 25 Julai: Bukan saja pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak mempercayai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah bekas pimpinan Barisan Nasional (BN) sendiri telah menunjukkan sikap tersebut terhadap kepimpinan beliau.

Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata demikian, ketika berucap dalam majlis penerangan anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Permatang Buloh, malam tadi.

Menurut beliau lagi, tindakan bekas pimpinan BN menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan jelas membuktikan pimpinan Najib bukan saja tidak diyakini dikalangan pimpinan Umno dan BN, tetapi juga penyokong parti tersebut sebelum ini.

"Jika bekas menteri seperti Ong Tee Keat, Tengku Razaleigh dan beberapa pimpinan lain berani bersama organisasi seperti Amanah untuk menzahirkan pandangan mereka secara positif mengenai tindakan menyimpang kerajaan, maka adalah tidak salah bagi rakyat juga untuk menyatakan ketidak puasan mereka.

"Amanah juga menjadi satu lagi tamparan kepada kepimpinan Najib, apabila beliau sering mendabik dada menyatakan sokongan yang diterimanya adalah padu baik dari kalangan pimpinan BN kini, dulu dan selamanya," ujarnya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.

Malah katanya begitu banyak kelemahan dalam pentabdiran Najib menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan di atas reputasi beliau sebagai Perdana Menteri.

"Air Asia juga telah dipindahkan ibu pejabatnya dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Bukankah ini juga suatu lagi krisis keyakinan yang menimbulkan persepsi yang pelbagai rakyat terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri.

"Penangkapan peguam Perancis, William Bourdon pada 22 Julai baru-baru ini, juga sesuatu yang memalukan negara. Apa yang hendak ditakutkan oleh kerajaan sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan.

"Bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah, sehingga menyebabkan tindakan mencemarkan nama negara itu terpaksa diambil oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN,"
tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, Najib sepatutnya jangan begitu takut kepada bayang-bayang beliau sendiri diatas segala kesalahan dan kemungkaran yang dilakukan selama memerintah negara.

AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula berkata, menyokong Umno dan BN bererti rasuah akan terus bermaharajalela dan berleluasa dalam negara.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, sejarah telah membuktikan bagaimana rasuah bermaharajalela di Perak apabila usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dilakukan oleh BN.

"YB Sivakumar dijanjikan habuan sebanyak RM30 juta jika sanggup menjadi katak seperti yang lain. Manakala YB Yunus pula turut dijanjikan ganjaran sebanyak RM20 juta jika sanggup melompat.

"Ini adalah sejarah hitam yang menjadi nostalgia dan memori hitam dalam sejarah negeri Perak, walaupun ianya telah berlalu. Sejarah tetap menjadi sejarah yang tidak boleh diubah.

"Seribu satu macam kerosakan, pemborosan, pembaziran, penyelewengan, koruspsi, skandal yang diterajui oleh Umno dan BN berada di puncak sebagai parti nombor satu menguasai keburukan dan kemungkaran," tegasnya.

Beliau juga berkata, berdasarkan kepada begitu banyak bukti yang ada, Umno dan BN layak untuk dilabelkan sebagai parti rasis, pengkhianat bangsa Melayu, perasuah dan parti video seks.

"Oleh kerana itu, masyarakat jangan pula terpedaya dengan bikinan video terbaru selepas ini, yang akan memaparkan pelakon baru dan lama bikinan Umno dan BN, melalui skrip lama yang diolah oleh pengarah baru menjelang pilihan raya umum yang akan datang, " jelasnya lagi. -HD


Ku Li : Bersihkan Negara Sebelum Terlambat

KUALA LUMPUR 22 JULAI : Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menggesa rakyat untuk sama-sama turun padang dan menamatkan gejala politik perkauman, rasuah dan kronisme yang semakin deras memusnahkan segala kejayaan negara yang didirikan sebelum ini.

“Warga Malaysia yang berfikiran benar dan saksama..jangan lagi berpeluk tubuh, menyerah dan menerima secara pasif.. terhadap buruk laku dan keadaan dashyat seperti rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku setiap hari di depan mata kita,” kata beliau.

“Kita mesti bertindak segera sebelum keadaan ini sampai ke tahap yang tidak dapat dipulihkan sehingga akhirnya seluruh asas peraturan hidup sosial, moral budaya, undang-undang dan perlembagaan ..akan hancur dan musnah,” tambah beliau.

Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata demikian ketika melancarkan Angkatan Amanah Merdeka, sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk memupuk “Semangat Malaysia Baru” demi menghapuskan kepincangan dalam sistem politik negara.

Dalam ucapan setengah jam, Ku Li selaku Presiden Amanah, mengimbau masalah-masalah yang melanda negara ini, khususnya hubungan kaum yang semakin rapuh akibat tindakan pihak yang mempunyai agenda politik peribadi lagi sempit.

“Saya memerhatikan dengan hati amat gusar..perhubungan kaum dan antara agama yang kian memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan ini ditambahkan lagi dengan perbuatan sesetengah pihak dan orang perseorangan yang secara terang-terangan dan barangkali dengan sengaja, merosakkan institusi-institusi perpaduan di negara ini,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa “kehilangan” semangat perpaduan yang mewarnai kehidupan rakyat sebelum ini adalah petanda jelas bahawa “tentu ada sesuatu yang sangat tidak betul berlaku dalam cara kita memerintah atau mentadbir negara ini.”

“Maka saya katakana masa sudah tiba untuk kita mencegah dan memberhentikan perkembangan yang menurun dan merosot ini. Janganlah kita teruskan sindrom penafian terhadap keadaan ini untuk menutup kebenaran atau reality sebenar,” tambahnya.

Beliau berkata orang Melayu dan juga kaum lain di negara ini tidak berjiwa perkauman atau rasis tetapi menjadi mangsa manipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

“Mereka dimanipulasi oleh pihak-pihak berpentingan supaya berkelakuan, berfikir dan bertindak secara komunalis, iaitu bersifat perkauman,” tegas beliau.

“Bagi orang Melayu, sikap seperti itu amat bertentangan dengan ajaran Islam dan apabila orang Melayu bersifat kurang Islamik, mereka cenderung ke arah bersikap rasis (dan) berbalik ke zaman Jahiliah,” kata beliau.

Ku Li yang juga mantan Menteri Kewangan selain ahli kerabat diraja Kelantan, berkata rakyat yang mewakili suara pertengahan tidak lagi boleh bersikap menyepi untuk mengelak risiko kontrantasi dengan pihak berkuasa.

Sikap sedemikian perlu di kikis kerana “kalau kita menyepi dan tidak berbuat apa-apa , padahnya amat buruk dan keadaan itu tidak dapat dipulihkan,” tambah beliau.

“Inilah masanya saudara sekalian dan saya sendiri dengan tegas menolak perbuatan rasuah besar-besaran dan perpecahan kaum yang sedang berlaku sekarang. Dalam sejarah Malaysia belum pernah timbul keadaan da ketika yang lebih mendesak daripada masa ini untuk kita bangkit menentang keadaan yang buruk ini,” tegas Ku Li.

Ku Li berkata rekod Malaysia sebagai kuasa ekonomi Asia pernah lebih baik daripada negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.

Namun pada hari ini prestasi ekonomi Malaysia merudum dan Kuala Lumpur kini dibandingkan dengan negara-negara seperti Kemboja, Myanmar dan Filipina.

“Malaysia diberkati dengan sumber kekayaan ..tetapi malangnya disebabkan kelemahan pengurusan dan rasuah, kemajuan kita kini sedang menurun dan merosot,” jelas beliau.

Ku Li menegaskan bahawa rakyat mahukan perubahan dan menggesa semua pihak untuk mendokong perjuangan AMANAH demi menyelamat negara daripada kehancuran.

“Kita boleh dan kita akan berikar untuk berpegang kepada prinsip integriti dan kita tidak boleh gagal dalam usaha kita ini untuk mengembalikan nilai-nilai teras dalam membina kehidupan perpaduan dan sikap menerima satu sama lain,” kata Ku Li. -tvsnews





1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mintak penyokong umporno sila buat komen sikit atas ucapan ku li ini!!!