21 Jun 2011

Kemenangan Parti Ikut Sentimen Rakyat, Himpunan Bersih Juga Ikut Sentimen Rakyat!

SPR: Kemenangan parti ikut sentimen pengundi

Kemenangan dan kekalahan sesuatu parti yang bertanding di dalam pilihan raya berubah mengikut sentimen pengundi.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya dipersalahkan di atas keputusan sesuatu pilihan raya, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"Parti dan calon yang disukai akan menang. Buatlah macam mana pun, sentimen memainkan peranan. Ini sentimen pada (pilihan raya umum) 2008. Pada 2004 berbeza.

"Dan saya yakin sentimen akan berubah (lagi) dan ini jangan salahkan SPR. Ada masanya kita menang ada masanya kita kalah," katanya semasa wawancara khas bersama RTM bertajuk "SPR Menepati Proses Demokrasi" selama 30 minit yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Seksyen Berita TV Jabatan Penyiaran Malaysia Sayuti Mukhtar di Kuala Lumpur, malam semalam.

Menyentuh mengenai cadangan menurunkan had umur mereka yang layak mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun pada masa ini, Abdul Aziz berkata ia memerlukan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, seperti juga penggunaan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundi mengundi dua kali dalam satu-satu pilihan raya.

Katanya, tidak ada peruntukan di dalam Perlembagaan yang menghalang seseorang itu mengundi sekiranya terdapat dakwat kekal di jari, tangan malahan pada badan sekalipun dan tindakan menghalang boleh menyebabkan SPR dicabar mengikut undang-undang.

"Untuk pinda Perlembagaan, ia memerlukan persetujuan dua pertiga anggota Dewan Rakyat. Untuk dapat dua pertiga sangat susah kerana hasil risikan saya, jika pemerintah setuju, pembangkang tidak bersetuju, pindaan tak boleh lulus dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Abdul Aziz berkata sekiranya pindaan ini diluluskan, barulah Malaysia boleh mencontohi India dan Indonesia yang menggunakan dakwat kekal dalam proses pilihan raya mereka.

Selepas program itu, Abdul Aziz memberitahu Bernama bahawa SPR sentiasa membuka ruang perbincangan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk berbincang bagi menambahbaik perjalanan pilihan raya di negara ini.

"Di sini juga saya ingin membetulkan laporan yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, Sabtu lepas yang mengatakan SPR telah menutup pintu perbincangan kepada kumpulan itu ( Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

"Sebenarnya SPR tidak menutup pintu perbincangan malah bersedia berbincang dengan mana-mana pihak termasuk parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan untuk kebaikan dan menyuburkan proses demokrasi di negara ini," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Apakah Pengerusi SPR merasakan mudah sangat untuk menipu rakyat Malaysia?

Kita ingin suarakan bahawa jika demikian jawapan Pengerusi SPR, maka kita jawab: Himpunan Bersih juga adalah mengikut sentimen rakyat. Justeru itu anda perlu patuh dan ikut kehendak rakyat!

Buktinya:


Bancian 'Star' - 99% sokong himpunan BERSIH

Sejumlah 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh The Star Online.

Jumlah sebenar bilangan responden tidak dapat disahkan apabila portal berita berkenaan menghentikan banciannya kira-kira tengahari tadi.

Menurut skrin yang dirakamkan oleh seorang pengguna Facebook, jumlah responden mencecah 1.3 juta pada jam 12.25 tengah hari berbanding 527,330 yang dicatatkan pada jam 6.11 pagi ini, yang dirakamkan menerusi laman Google Cache.

Soalan yang dikemukakan berbunyi 'Apa pandangan anda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai?, 1,312,917 responden menjawap 'Ia sepatutnya dibenar diteruskan' pada 12.25 tengahhari.

Manakala pilihan satu lagi - 'Ia harus dibatalkan' - hanya dipilih oleh 14,222 responden. -mk



Tiada ulasan: