3 Mei 2011

Logi Gebeng: Kesihatan Rakyat Malaysia Diperjudikan Dengan Nilai RM50 Juta

EELB: Lynas ‘didenda’ RM50 juta bagi setiap bencana radiasi

Sementara panel antarabangsa sedang meneliti aspek kesihatan dan keselamatan, Lynas Corporation akan dipertanggungjawabkan dengan syarat ‘denda’ sehingga RM50 juta bagi setiap bencana jika loji pemprosesan nadir bumi mereka di Gebeng menyebabkan kebocoran radiasi.

Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) berkata syarikat Australia itu juga perlu menamakan individu yang perlu bertanggungjawab bagi sebarang kejadian tidak diingini sebelum ia boleh dibenar beroperasi di zon industri Gebeng dekat Kuantan, dijangka akhir tahun ini.

“Dalam undang-undang, entiti yang diberi lesen perlu menamakan seseorang yang bertanggungjawab bagi lesen dan ia akan bertanggungjawab sehingga RM50 juta bagi setiap insiden,” kata Ketua Pengarahnya Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider.

Katanya, ia selaras dengan Seksyen 59(1) Akta Pelesenan Tenaga Atom.

Pada 22 April lalu, Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata kajian semula panel bebas terhadap kilang nadir bumi di Gebeng akan membantu menangani kebimbangan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar berhubung projek itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai, dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh AELB.

Syarikat itu juga tidak dibenarkan untuk mengimport bahan mentah dari Australia sementara kerajaan membuat keputusan terhadap hasil kajian itu.

“Mereka membuat keputusan (untuk melabur RM700 juta) sebab mereka percaya bahawa mereka boleh memenuhi syarat-syarat yang ketat,” kata Raja Aziz.

Kata beliau, syarikat itu perlu membuat pradeklarasi dan mematuhi paras torium . — elemen radioaktif yang ditemui di kesemua simpanan nadir bumi dan uranium di kedua-dua bahan mentah dan sisa buangan.

Raja Aziz menambah, Lynas belum memenuhi keperluan permohonan bagi mendapatkan lesen praoperasi yang akan menyediakan tempoh selama tiga tahun bagi AELB untuk memantau dan mengesahkan sama ada keseluruhan proses pemprosesan adalah selari dengan perancangan pradeklarasi.

“Lynas ada menghantar kepada saya permohonan. Tetapi jika anda menghantar satu surat tanpa dokumentasi, ia bukan permohonan. Kami sudah melihatnya dan ia tidak lengkap,” kata beliau. -TMI


Lynas@Gebeng : Dedahkan segala maklumat loji Lynas, kata bekas pakar geologi

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Kedua-dua kerajaan Australia dan Lynas Corporation digesa tampil menjawab banyak soalan yang masih belum dijawab berhubung loji pemprosesan nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng dekat Kuantan, kata seorang bekas pakar geologi kanan kerajaan.

Bekas pegawai Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia (GSM) itu juga berkata, ketiadaan ketelusan bermakna sukar bagi pihak ketiga dengan kepakaran teknikal untuk menawarkan pandangan mengenai kemungkinan bahaya alam sekitar ekoran kerja-kerja pemprosesan itu.

“Ada banyak soalan tanpa jawapan,” kata Wong Yew Choong kepada The Malaysian Insider semalam.

Wong berkata beliau telah menjalankan siasatan mengenai radiasi kepada GSM, yang kini sebahagian daripada Jabatan Mineral dan Geosains lewat 1980-an bagi loji Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah.

Loji itu kemudian ditutup pada 1992 ekoran protes awam.

Hampir dua dekad kemudian loji itu yang dikaitkan dengan lapan kes leukemia di kalangan penduduk tempatan masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan yang menelan kos RM303 juta.

Lynas berharap untuk memulakan operasinya di Gebeng menjelang September ini, untuk bersaing dengan China yang menguasai 95 peratus pasaran nadir bumi.

Syarikat itu menjangkakan pulangan hampir RM8 bilion setahun bermula 2013.

Bagaimanapun di sebalik krisis nuklear di Jepun ekoran bencana berganda baru-baru ini, laporan New York Times mengenai operasi itu awal bulan ini menyebabkan kebimbangan dan mencetuskan polemik baru mengenai isu tersebut.

Sehubungan itu, Wong berkata, seolah-olah kelihatan sebagai “rahsia kerajaan tidak membolehkan rakyat mengetahui butiran projek yang sedang dibangunkan itu.”

“Rakyat seharusnya boleh memperoleh pandangan pihak ketiga, bukan daripada kerajaan ataupun Lynas, mengenai kesemua aspek,” kata beliau.

Lynas berulang kali menegaskan, logam nadir bumi yang akan diproses di Gebeng hanya mempunyai dua peratus elemen radioaktif, torium yang wujud dalam bahan mentah digunakan di Bukit Merah.

Bagaimanapun, Wong berkata menurut tulisan akhbar Amerika Syarikat itu loji tersebut akan memproses 10 kali ganda nadir bumi dan boleh menyebabkan jumlah sisa pembuangan radioaktif dalam jumlah yang banyak.

“Sementara saya ragu-ragu dengan respons bahawa bahan mentah hanya akan mempunyai 0.16 peratus kandungan torium, ia masih satu kadar yang besar jika mereka hendak memproses beratus tan bahan mentah,” katanya lagi.

Malah kata beliau, bahaya radiasi akan terus mengalami pertumbuhan daripada himpunan sisa buangan dan juga debu yang dilepaskan ketika pemprosesan.
Pakar alam sekitar dan penduduk di Kuantan menuntut butiran operasi loji itu daripada Lynas dan pihak berkuasa tempatan.


Ulasan GB

Demikianlah, RM50 juta sahaja "nilai" seluruh rakyat negara ini apabila itulah denda yang dikenakan bagi setiap bencana jika loji pemprosesan nadir bumi mereka di Gebeng menyebabkan kebocoran radiasi sedangkan syarikat itu menjangkakan pulangan hampir RM8 bilion setahun bermula 2013.

Ia seperti sesuatu syarat mudah yang sengaja dikenakan ke atas Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk diberikan lesen sebelum ia boleh dibenar beroperasi di zon industri Gebeng dekat Kuantan, dijangka akhir tahun ini.

Ia amat bertentangan dengan apa yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia sendiri bahawa tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh AELB sebelum kajian oleh panel lima hingga tujuh pakar antarabangsa selesai.

Penipuan ke atas rakyat Malaysia dilakukan terang-terangan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan rakyat Malaysia bakal menanggung risiko terhadap sebarang salah-tindakan oleh AELB.



4 ulasan:

Ismi Azraf berkata...

Sepatutnya mencengah tapi ia merubat. Jika radiasi terlepas , tidak mudah membersihkan semula.Jepun canggih dengan teknologi tetapi sehingga kini bermasalah dalam membersihkan radiasi yang terlepas akibat gegaran.


FARISZ@AZ.Com

.

Tanpa Nama berkata...

malaysia BOLEH....boleh menghancurkan negara sendiri...inilah mentaliti manusia jika ia berlandaskan kepada duit semata...nyawa bukan lagi top priority yang penting DUIT MASYUKKK itulah motto...rakyat didahulukan....kalau kena pun rakyat yg kena dulu...VVIP cabut lari...IBU

Tanpa Nama berkata...

pangkah la lg BN lepas ni......

Tanpa Nama berkata...

betul3, aku sokong pendapat FARISZ, jangan kerana hanya keuntungan sementara, resiko dalam masa yang panjangan terpaksa ditangung oleh rakyat... KESIAN KAT ANAK CUCU AKU NANTI, MENCEGAH LEBIH BAIK DARI BERUBAT....