17 Apr 2011

Pasca PRN Sarawak: Najib, Muhyiddin & BN Jangan Suka Sangat

Mesej kuat untuk BN Sarawak -Analisis Kadir Dikoh

WALAUPUN Barisan Nasional (BN), seperti dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), prestasinya tergugat apabila pembangkang merampas beberapa kerusi yang sebelum ini menjadi kubu kuatnya, terutama di kawasan majoriti pengundi Dayak selain pengundi Cina yang diketahui lebih cenderung kepada DAP.

Keputusan pilihan raya negeri Sarawak (PRN) ke-10 ini adalah kedua terburuk selepas peristiwa 'Ming Court' pada 1987 apabila BN negeri cuma menang 28 kerusi berbanding 20 diperoleh pembangkang merangkumi 15 kerusi melalui Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Maju Rakyat Sarawak (Permas) dengan lima kerusi.

Ini menjadikan BN ketika itu hanya menguasai 28 kerusi dan pembangkang 20 daripada keseluruhan 48 kerusi DUN, sebelum persempadanan semula yang menyaksikan pertambahan kepada 71 kerusi sekarang. Ketika itu, 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menandatangani surat undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sekali gus memaksa Abdul Taib membubarkan DUN 13 bulan lebih awal.

Walaupun BN yang ketika itu dikenali sebagai BN3 (tanpa PBDS) gagal memperoleh kemenangan dua pertiga, Abdul Taib berjaya menggagalkan usaha PBDS dan Permas yang bergandingan di bawah jenama Kumpulan Maju.

Jika dibuat perbandingan, prestasi BN kali ini lebih baik daripada 1987 itu kerana masih berupaya menang majoriti dua pertiga, meskipun tewas 17 kerusi kepada pembangkang dan Bebas.

Sebelum DUN dibubarkan 21 Mac lalu, BN menguasai 62 daripada 71 kerusi yang dimenanginya pada 2006. Jumlah kerusi dikuasai BN bertambah menjadi 63 selepas seorang wakil rakyat Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menyertai SUPP.

Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tewas banyak kerusi terutama kekalahan Presidennya, Tan Sri George Chan, 75, di Piasau, Miri. Namun, agak mengejut apabila Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Peter Nyarok, 69, tewas di DUN Krian yang majoriti pengundinya kaum Dayak, kepada calon PKR, Ali Biju. Pada 2006, Nyarok menang dengan majoriti 2,089 undi.

Kekalahan dua pemimpin veteran Sarawak itu juga jelas menunjukkan kegagalan BN untuk menilai 'winnable candidate' (calon boleh menang) sebelum penamaan calon, kerana sebelum ini sudah ada desas-desus mengatakan kedua-duanya perlu memberi laluan kepada muka baru.

Lebih teruk lagi apabila SUPP pimpinan Dr Chan terus 'berdegil' untuk mencalonkan semula hampir semua penyandang di kerusi masing-masing di sebalik laporan menyatakan bahawa angin tsunami bertiup kencang daripada DAP di kawasan majoriti Cina. Ini bukan bermakna, SUPP boleh menang jika menampilkan muka baru tetapi sekurang-kurangnya perubahan itu boleh membantu keadaan.

Gambaran sama juga berlaku di kerusi majoriti Dayak di Pelagus dalam Bahagian Kapit apabila calon Bebas, George anak Lagong, menang menewaskan calon BN, Stanley Nyitar @ Unja anak Malang yang mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS), dengan majoriti 2,837.

Ini jelas berlaku kesilapan oleh pucuk pimpinan PRS diketuai Datuk Dr James Masing yang sebelum ini memecat Larry Sng daripada parti itu dan tidak mahu BN meletakkan Sng sebagai calon di situ, sedangkan Sng adalah calon popular. Pelagus atau tepatnya, Kapit asalnya menjadi kubu kuat peninggalan keluarga Sng untuk beberapa penggal selama ini.

Lebih mengejutkan apabila Sng dalam akaun twitter sebelum ini menyatakan bahawa beliau tidak akan membantu calon BN daripada PRS kerana Dr Masing menyatakan khidmatnya tidak diperlukan. Pada 2006, Sng menang dengan majoriti besar 3,239 undi.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Jayum anak Jawan yang juga anak Sarawak berkata, kemenangan majoriti dua pertiga BN itu memang sudah dijangka, tetapi apabila beberapa kerusi majoriti pengundi Dayak dimenangi pembangkang, ia jelas memberi mesej kepada BN.

“BN perlu memberi perhatian kepada mesej itu, kerana selama ini orang kata BN boleh kalah di bandar kerana segala kemudahan asas sudah disediakan oleh kerajaan, tetapi jika BN kalah di luar bandar, kemudahan asas itu sukar diperoleh. Itu pendapat lama.

“Kini, penduduk luar bandar sudah berani untuk menghantar mesej tertentu kepada kerajaan dan ia perlu diberi perhatian oleh BN. Bagi kerusi Ba'kelalan, kemenangan PKR memang dijangka kerana ia bagaikan obor untuk pembangkang," katanya merujuk kepada kemenangan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang sebelum ini dinamakan sebagai bakal Ketua Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menumbangkan BN.

Saingan bagi kawasan tanah tinggi Ba'kelalan itu memang menjadi perhatian dan keputusannya amat rapat dengan Baru memperoleh majoriti 473 undi, iaitu kurang dua undi saja jika dibandingkan majoriti diperoleh calon BN yang menang pada pilihan raya negeri 2006.

Bagaimanapun, kawasan itu menyaksikan peningkatan 10.7 peratus pengundi kali ini, kepada 6,958 (2006: 6,284) dengan peratusan mengundi cuma 65.90 peratus.

PKR juga tidak boleh menabik dada dengan kemenangan tiga kerusi calonnya kerana jelas kempen diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak begitu memberi kesan, terutama di kawasan yang dilawatinya seperti di Kapit, Sibu dan Miri. PAS pula terus ditolak pengundi Bumi Kenyalang apabila tewas di kesemua lima kerusi yang ditandinginya. -BH


Sarawak: BN kekal kuasa penggal ke-10, undi popular terus turun

KUALA LUMPUR, 17 April — Barisan Nasional (BN) meneruskan penguasaan kerajaan negeri buat penggal ke-10 dengan memperoleh 55 kerusi tetapi peratusan undi popular yang diperolehnya menurun berbanding pilihan raya negeri 2006.

Berdasarkan maklumat dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, BN merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada keluar mengundi kali ini.

Lima tahun lalu perikatan itu menerima 62.91 peratus (341,587 undi) dan 71.16 peratus (382,137 undi) pada 2001.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri kesembilan dan kelapan pada 2006 dan 2001 di mana masing-masing hanya 69 dan 43 kerusi disaingi selepas bakinya dimenangi BN tanpa saingan.

Kali ini BN memperoleh 55 kerusi, Pakatan Rakyat pula 15 kerusi manakala baki satu dimenangi oleh Bebas.

Sistem pilihan raya negara ini tidak menggunakan pemerolehan undi popular dalam pembahagian kerusi.

Dalam pilihan raya negeri kali ini, baki undi popular pergi kepada barisan pembangkang dan calon-calon Bebas.

Pakatan Rakyat (PR) yang pertama kali bertanding dalam satu perikatan tiga parti di peringkat negeri memperoleh 38 peratus, sekali gus memperlihatkan peningkatan undi popular kali ini.

Kali ini, DAP yang memenangi 12 kerusi merekodkan 134,847 undi (19.7 peratus), Parti Keadilan Rakyat dengan memperoleh tiga kerusi mendapat 117,100 undi (17.14 peratus) manakala PAS yang gagal memperoleh sebarang kerusi mengumpulkan 9,719 (1.4 peratus).

Pada pilihan raya negeri 2006, DAP mengumpulkan 82,134 undi (15.13 peratus), PKR (47,348 undi; 8.72 peratus) dan PAS (1,901 undi; 0.35 peratus).

Lima tahun lalu, BN bertanding di kesemua 71 kerusi tetapi menang dua kerusi tanpa dicabar pada hari penamaan calon manakala DAP bertanding di 12 kawasan, PKR (25), PAS (satu), Snap (29) dan Bebas (20).

Peningkatan undi popular bagi parti-parti komponen PR juga ada kaitan dengan bilangan kerusi yang ditandingi kali ini, yang meningkat berbanding lima tahun lalu khususnya PKR.

Kali ini kesemua kerusi disaingi BN dengan DAP bertanding di 15 kerusi, PKR bertanding di 49 kerusi majoriti Melayu/Melanau dan Dayak, dan PAS di lima kawasan Melayu manakala Snap di 26 kerusi majoriti Dayak, Parti Cinta Malaysia (PCM) di enam kawasan Bumiputera dan 41 calon Bebas.

Snap dan dan PCM yang turut tidak memperoleh sebarang kerusi masing-masing menerima 15,663 undi dan 2,895 undi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah bilangan keluar mengundi 682,854 orang atau 70 peratus.

Jumlah undi ditolak sebanyak 8,224 undi.

Kerusi DUN yang merekodkan majoriti tinggi ialah Bukit Assek iaitu 8,827 undi manakala majoriti paling rendah ialah Senadin iaitu 58 undi.

Katanya, jumlah calon yang hilang deposit kerana gagal mendapat satu per lapan daripada jumlah undi keseluruhan ialah 71 calon. -TMI


Ulasan GB

1) BN menang - tetapi Najib, Muhyiddin & BN jangan suka sangat. Undi popular BN terus merosot. Kemenangan itu pun dibantu oleh jentera kerajaan yang hebat. Jangan lupa, sebuah helikopter telah terhempas, mengorbankan nyawa seorang juruterbang tatkala rombongan Muhyiddin mendarat. Berlaku kerana "salah-laku" - menyalahgunakan harta awam untuk politik kepartian.

Selain itu, kita tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir, apabila suara Pengerusi SPR seia sekata dengan suara TPM semalam tatkala "menegur" rakyat yang menyalin maklumat twitter di awal pengiraan undi bahawa PR menang. Persis kedua-duanya saling mengetahui bahawa ada perencanaan di belakang tabir. Hanya Allah jua Yang Maha Tahu.

2) PAS tewas kelima-lima kerusi yang ditandinginya di Sarawak. Benar. Namun tidak bererti PAS gagal. PAS melalui jalan sukar di Sarawak sebagai sebuah parti politik sekaligus sebagai sebuah gerakan dakwah. Apa-apa pun PAS berjaya meningkatkan sokongannya dan hampir menang di Beting Maro. Cuma, seperti yang GB katakan sebelum ini, beluam ada rezeki PAS untuk meraih kemenenangan di Sarawak. InsyaAllah, masanya akan tiba juga, PAS perlu istiqamah dan teruskan perjuangan.

3) PKR cuma menang 3 daripada 49 kerusi yang ditandinginya. GB tertarik dengan komen seorang sahabat :

Pakatan Rakyat boleh menang leih banyak kerusi sekiranya Parti Keadilan tak tamak. Bertanding 49 kerusi,menang hanya 3 kerusi. Walau pun SNAP tak menang sebarang kerusi, namun undi pembangkang sudah pecah. Prestasi DAP jauh lebih baik. Ini suatu pengajaran kepada Parti Keadilan agar membuangkan sifat tamak bila berunding pembahagian kerusi dengan parti komponen Pakatan Rakyat. Perangai tamak ini wajar dikikis cepat agar pada PRU ke13 akan datang kesilapan dan kelemahan ini tidak berulang. BN menang bukan kerana depa kuat, tapi menang atas kelemahan dan kesilapan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Rakyat Sarawak mahu berubah, mahu BN dijatuhkan dan sudah bosan dengan Taib Mahmud tapi perangai tamak dan sifat ego telah melemahkan Pakatan Rakyat. Kalau pemimpin Parti Keadilan tak faham dan tak mahu mengakui kelemahan ini,BN aka n terus berkuasa seterusnya pada PRU ke13 akan datang.


4) DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandinginya. Tahniah dari rakan-rakan di dalam PR.


9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ini bukan masalah tamak bro. kerana dari awal lagi SNAP naik tocang,
kononnya merekalah lebih arif dengan kawasan2 orang Iban. Malah sebelum apa2 lagi, SNAP dah umum siapa tanding di mana?

Ada juga yang berkata mereka ini secara senyap bersubahat dengan BN dan jika mereka menang kerusi2 yg ditandingi mereka akan lompat nanti.

iswara berkata...

Orang tamak selalu rugi.Sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna.Kesatuan pakatan Pembangkang harus diperkemaskan Khususnya Di Serawak & Sabah.Kecelaruan inilah yang melemahkan DAN menguntungkan Beend dalam melebarkan empayarnya.

Tanpa Nama berkata...

tak apa. Cuba lain. sampai bila dia nak menang. Naik lagi tinggi..tinggi kemudian jatuh merudum macam kat mesir. Jika betoi2 kuat Bn kenapa banyak kempen PR disekat?

Tanpa Nama berkata...

BN sebenarnya y kalah....kerusinya merosot...dinding2 rumahnya dapat dipecahkan PR dan kini bilik2 di rumah BN dikuasai PR...Hakikat kemenangan ialah kepada mereka yang berjaya membesarkan empayar....
Tapi tu sume tak berani disebut oleh Bn laknatullah dan media2 nya...

Malaysia Kian Berubah....!!! Tahniah PR...

Tanpa Nama berkata...

Bn kalah di kawasan bandar... tapi menang di kawasan2 pedalaman...
nampak sgt yang menyokong BN tu org2 yang mindanya x beberapa nk berkembang... Thats why Bn 50 thn xnk memajukan kaw remote area, termasukla di felda2...takut minda2 n tahap IQ mereka bertambah la tu...

Kesian BN...
Beruk tu bodoh...
Bodoh lagi UMNO BN...

narong berkata...

mrk2 dipendalaman kurang mendapat pendedehan dan info yg betul..sumber yg mrk dpt hanya dr sumber2 yg dikuasai umno/bn(tv,radioa dsb)..x hairanlah minda mrk ni masih dikongkong oleh penindas2 umno/bn ini..kita yg kena berkerja lbh keras supaya org2 dipendalaman ini didedahkan kpd sumber yg benar..

Tanpa Nama berkata...

kepada org2 pendalaman lepass ni bukak lah mata....dah lebih 50 tahun merdeka ..tapi apa kemudahan yg kita dapatt ..ambik contoh kpg isteri saya....masih lagi tidak dapat bekalan air bersih...cuba renung2 kan...

Tanpa Nama berkata...

Jika BN buat pembangunan yang hebat di Sarawak, maka rakyat akan cepat sedar...sebab hubungan semakin cepat...maklumat semakin pantas.

Tanpa Nama berkata...

itulah kesannya apabila media UMNO berkerja keras untuk tewaskan parti lawan,keseluruhan rakyat Serawak tidak sedar ditipu oleh media Umno yang dimonopoli oleh koperat dan gulungan Elit UMNO tersebut.. Rakyat tidak bodoh tetapi diperbodohkan oleh mereka tersebut.