4 Apr 2011

Mat Sabu Nafi Sudah Tawar Diri Untuk Bertanding Timb Presiden

Hanya akan tanding kalau sokongan kuat, kata Mat Sabu

Ahli jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu menafikan beliau secara rasmi sudah menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan parti Jun ini.

Sebaliknya, bekan naib presiden PAS itu berkata, beliau hanya akan mengumumkan secara rasmi pendiriannya seminggu sebelum pemilihan diadakan.

“Belum lagi... belum lagi... saya masih belum ada menawarkan diri lagi, bagaimana saya nak tawarkan diri kalau pencalonan pun saya belum tahu.

“Menawarkan diri itu istilah yang tidak betul, apa yang saya katakan saya bersedia menawarkan diri dan bertanding sekiranya pencalonan yang diterima saya kuat, kalau tidak kuat saya mungkin tidak akan bertanding,”
katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas Mohamad, apa-apa keputusan akan dibuat selepas semua kawasan membuat pencalonan dalam mesyuarat agung tahunan masing-masing bagi memilih pucuk pimpinan sehingga 10 Mei ini.

“Bagaimana saya buat keputusan, kita biarkanlah kawasan mesyuarat dulu, kalau saya hanya dapat tiga atau empat pencalonan susah untuk saya bertanding.

“Senang kata kalau sokongan saya kuat, saya akan bertanding dan kalau sokongan tidak kuat mungkin saya tidak akan bertanding tapi buat masa sekarang saya belum menawarkan diri secara rasmi lagi,” katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Mohamad secara rasmi menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu.

Katanya, antara tujuan utama beliau menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding adalah bagi membantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegakkan keadilan Islam khasnya di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Jawatan nombor dua parti ini dijangkakan menjadi rebutan antara penyandangnya Nasharudin Mat Isa selepas Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan tidak akan bertanding jawatan itu.

Bagaimanapun usaha The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahan daripada Nasharudin sehingga kini masih belum berhasil.

Sekiranya, Mohamad bertanding ini merupakan kali kedua beliau berbuat demikian setelah tewas kepada Nasharudin dua tahun lalu.

Turut bertanding ketika itu ialah Datuk Husam Musa.

Ketika itu kedua-dua Mohamad dan Husam merupakan naib presiden.

Pada pemilihan itu, Nasarudin mendapat 480 undi untuk mengekalkan jawatannya, Husam memperoleh 281 undi manakala Mohamad hanya 261 undi. -TMI


Mat Sabu tawar diri tanding timbalan presiden

Seperti diduga, bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu secara rasmi menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Jun ini.

Katanya, antara tujuan utama beliau menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding adalah bagi membantu presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegakkan keadilan Islam khasnya di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

“Saya juga mahu membantu presiden untuk memobilasi demokrasi dan kefahaman tentang demokrasi kepada rakyat supaya mereka memilihnya untuk diamalkan di Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini selepas menyampaikan ceramah di Subang Jaya malam semalam.

Menurutnya, selain itu, beliau juga mahu membantu Abdul Hadi bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat dengan mengukuhkan kerjasama parti dengan ahli gabungan dalam Pakatan dan juga NGO.

Katanya, memperkukuhkan Pakatan dapat diterjemahkan melalui melaksanakan “tindakan politik bersama-sama untuk kepentingan rakyat”.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata antara program yang beliau dapat memberikan khidmat kepada parti adalah melalui Himpunan Bersih.

Mantapkan Majlis Syura

Sehubungan itu, Mohamad berjanji akan cuba “mempergiatkan lagi” berfungsi sebagai timbalan presiden sekiranya dipillih menjadi orang nombor dua dalam parti itu.

Selain itu, katanya, beliau juga mahu mempermantapkan Majlis Syura supaya “betul-betul berfungsi” khususnya dalam soal menjaga displin dan mempertahan dasar parti.

Dalam pemilihan PAS dua tahun lalu, Mohamad tewas kepada penyandangnya Nasharuddin Mat Isa dan bekas naib presiden Datuk Husam Musa dalam persaingan tiga penjuru.

Nasharuddin mendapat 480 undi, Husam (281) dan Mohamad memperolehi 261 undi.

Mengulas mengenai jumlah percalonan kawasan yang diterimanya setakat ini, Mohamad berkata, beliau belum membuat tinjauan menyeluruh berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, beliau ada mendengar beberapa kawasan “memohon” kepadanya supaya bertanding jawatan tersebut pada muktamar parti yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini.

“Keputusan akhir (untuk bertanding) bergantung kepada sokongan yang diterima... Ada kawan-kawan memberi galakan (untuk bertanding),” katanya.

NONEIbu pejabat parti menetapkan semua 179 kawasan membuat pencalonan dalam mesyuarat agung tahunan masing-masing bagi memilih pucuk pimpinan parti sehingga 10 Mei ini.

Setakat ini Mohamad mendapat satu pencalonan untuk bertanding bagi jawatan itu dari kawasan Kubang Kerian yang diketuai oleh exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

'Saya sahaja...'

Namun, Mohamad dijangka tidak menghadapi masalah apabila beberapa lagi kawasan PAS di Wilayah Persekutuan dijangka akan mencalonkan beliau - antaranya di Batu, Kepong, Bukit Bintang dan Putrajaya.

Ditanya sama ada terdapat pimpin PAS lain yang akan mencabarnya merebut jawatan itu, Mohamad enggan mengulas lanjut.

“Saya kira (pencalonan) saya sahaja. Dalam PAS, ada adab berkempen (bagi individu) yang menawarkan diri... Saya tidak mahu menyentuh (hal) orang lain,” katanya.

husam musa mat sabu nasharuddin mat isa 220409Ditanya sama ada beliau takut sekiranya terdapat pemimpin tertentu dalam parti mahu mencabarnya, Mohamad berkata ia adalah perkara biasa dalam permilihan parti.

“Saya biasa dicabar dan mencabar. Saya biasa memegang jawatan ketua pemuda, naib presiden dan kalah merebut timbalan presiden.

“Bagi saya kalah atau menang, saya tetap hadir (dalam muktamar) sebagai pejuang parti dan jamaah,” tegasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, ada sumber memberitahu Malaysiakini sekurang-kurangnya 10 daripada 22 kawasan di Selangor akan mencalonkan Mohamad merebut jawatan timbalan presiden.

pas seminar 071109 tuan ibrahimBagaimanapun sumber itu enggan mendedahkan kawasan mana yang bakal mencalonkan Mohamad yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Menurut sumber itu lagi, beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat kawasan yang akan mencalonkan penyandangnya Nasharuddin dan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan yang sama. -mk


Tiada ulasan: