23 Apr 2011

Kes Sarbani: Laporan Polis Tidak Lengkap, Keluarga Tunggu Respons Peguam Negara

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mahu melihat respons Peguam Negara berhubung laporan siasatan polis mengenai kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu bagi menentukan tindakan susulan pihaknya.

Peguam keluarga itu Ghazali Mohd Ramli berkata, sebarang tindakan lanjut bergantung pada keputusan Peguam Negara setelah menilai kertas siasatan yang akan diserahkan polis berhubung kematian Ahmad Sarbaini.

Ahmad Sarbaini ditemui meninggal dunia di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala.

“Tindakan sewajarnya akan diambil apabila diputuskan oleh pihak Peguam Negara berdasarkan laporan hasil siasatan polis.

“Setakat ini saya masih tidak boleh nak cakap apa-apa lagi, saya pun tidak tahu apa laporan itu... jadi kita tunggu keputusan Peguam Negara dulu,
” kata Ghazali kepada The Malaysian Insider.

Jelas Ghazali, beliau tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan bagi mengelakkan berlaku sebarang campur tangan dalam siasatan polis.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku, apa yang kita tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi sebab apa dia jatuh kita tidak tahu.

“Apa yang kita tahu banyak spekulasi sahaja, kita tidak ada maklumat dan saya percaya polis tahu apa yang berlaku... apa-apa kita tunggu sahaja keputusan Peguam Negara,” kata beliau.

Kelmarin, polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.

Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Awal pagi semalam, The Malaysian Insider melaporkan keluarga Ahmad Sarbaini tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis sambil mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh untuk mengetahui sebab-sebab kematian bapa lima anak itu.

Sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini berkata, pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana nampaknya ia tidak dibuat secara menyeluruh selain nampaknya mahu “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum
.

Ahmad Sarbaini merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain. -TMI

Ulasan GB

Aneh, bagaimana polis boleh meminta rakyat berhenti dari membuat spekulasi sedangkan laporan polis itu tidak lengkap. Tidak dinyatakan bagaimana apa yang dikatakan "kemalangan" itu berlaku.

Semalam GB katakan:

Ia memang sudah dijangka dan polis sejak dari hari pertama kejadian "sudah pun" membuat rumusan sedemikian.

Laporan yang dikatakan telah lengkap itu sebenarnya tidak lengkap. Tidak komprehensif. Ia mengulangi siasatan polis di dalam kes Teoh Beng Hock.

Ahmad Sarbani dikatakan "mati kemalangan". Tergantung. Kemalangan disebabkan apa? Tanpa sebab?

Apakah kerana tergelincir? Terjun sendiri? Ditolak? Dicampak? Itu semua kena ada di dalam kertas siasatan. Sekarang NIL.



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ahmad Sarbaini dipercayai mati dibunuh kerana dia ada maklumat siapakah yang mengamalkan rasuah dengan jumlah yang amat besar. Andainya dia tidak dibunuh, dikhuatiri dia akan dedahkan orang yang berprofil tinggi yang mengamalkan rasuah.

Ismi Azraf berkata...

Jika kemalangan mesti ada punca kemalangan dan bagaimana kemalangan tersebut mengakibatkan kematian.

FARISZ@AZ.Com

Sebab Mata Lelaki Gemar Lihat Badan Wanita

Berdakwah tapi jadi ahli Neraka?

.