13 Apr 2011

Bapa Francesca Peter Mati Dalam Keadaan Seorang Islam

Terima takdir bapa peluk Islam

DUNGUN - Jenazah Muhammad Gaberial Peter, bapa Francisca, penyanyi evergreen era 80-an yang popular dengan lagu Sekadar di Pinggiran yang ditemui mati di rumahnya dekat Taman Sri Dungun kira-kira jam 10 malam kelmarin selamat disolatkankan di Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura, jam 2.30 petang semalam.

Penemuan dokumen memeluk agama Islam oleh sepasukan polis yang melakukan siasatan di rumah Peter mengungkai tanda tanya bahawa dia kini berstatus beragama Islam.

Biarpun perkara terbabit difahamkan tidak diketahui sebahagian ahli keluarganya yang beragama Kristian, namun dokumen yang menjadi status identiti agama Islam itu menjawab segala pertanyaan seterusnya membuka jalan untuk pihak berkaitan menyelesaikan segala kerumitan dihadapi.

Pegawai Agama Daerah Dungun, Mohd Adnan Abdullah mengesahkan, selepas merujuk kepada pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Peter disahkan memeluk agama Islam pada 10 April 2007 lalu.

“Sehubungan itu ia menjadi tanggungjawab pihak Pejabat Agama Daerah Dungun untuk menguruskan jenazah berkenaan sebelum dikebumikan mengikut cara orang Islam,” katanya.

Anak lelaki arwah, John Joseph Peter, 40-an yang beragama Kristian ketika ditemui selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sura berkata, arwah bapanya itu tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu.

Katanya, biarpun tidak sempat menemui arwah pada saat akhir, namun dia menerima kehendak takdir dengan pemergian bapanya itu dengan hati yang terbuka bahawa bapanya itu meninggal dalam Islam.

Sementara itu, solat jenazah Muhammad Peter diimamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli.

Wan Hassan yang ditemui berkata, urusan menguruskan jenazah itu dilakukan pihaknya bukan atas dasar untuk mencari publisiti demi kepentingan politik, sebaliknya ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul masyarakat Islam, apatah lagi arwah merupakan saudara baru yang tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang beragama Islam bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Kita melihat kepada kepentingan menjaga rakyat, apabila rakyat yang ada dalam keadaan kesulitan melibatkan kematian, kita perlu bantu apatah lagi dia merupakan saudara baru,” katanya. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Innalillah hiwainna ilaihirojiun.. semoga rohnya dirahmati Allah.