7 Mac 2011

Menteri Jerman Dikecam Dakwa Islam Bukan Sebahagian Jerman

Berlin: Menteri Dalam Negeri Jerman yang baru, Encik Hans Peter Friedrich, telah dikecam apabila mengatakan Islam bukan sebahagian daripada negara tersebut walaupun lebih empat juta orang Islam menetap di negara itu.

Gambar: Dewan Pusat Muslim : Aiman Mazyek, Dr. Ayyub Axel Köhler, Maryam Brigitte Weiß , Burhanettin Dag, Yakup Tufan.

Mengulas kenyataan menteri tersebut, Ketua Dewan Pusat Muslim di Jerman, Encik Aiman Mazyek, berkata terdapat beberapa siri rujukan bersejarah yang unik berkaitan Islam dan dunia Islam di Eropah.

'Tiada siapa yang boleh menafikan sejarah itu. Hari ini, Islam adalah bahagian yang tidak boleh diganti di Jerman,' ujarnya.

Sementara itu, hampir semua ahli politik kanan Jerman dari semua parti besar, termasuk Parti Demokrat Bebas (FDP), mengecam Encik Friedrich atas kenyataannya pada Khamis lalu, hanya beberapa jam selepas menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri baru Jerman.

Ketua parti pembangkang, Parti Hijau, Encik Cem Ozdemir, yang berketurunan Turkey, berkata kenyataan Encik Friedrich menunjukkan beliau mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai masyarakat Jerman.

Kenyataan Encik Ozsemir itu turut disokong oleh rakan partinya, Encik Renate Kuanast, yang menyatakan Islam sudah lama bertapak di Jerman.

Sementara itu, Menteri Keadilan, Cik Sabine LeutheusserSchnarrenberger secara terbuka menyuarakan bantahan ke atas kenyataan anti-Islam Encik Friedrich itu.

'Tentu saja Islam adalah milik Jerman,' kata Cik Schnarrenberger yang merupakan ahli kabinet kerajaan FDP.

Komen Cik Schnarrenberger itu juga disokong oleh jurucakap dasar domestik FDP, Encik Hartfrid Wolff, yang menegaskan bahawa umat Islam telah menjadi 'sebahagian daripada kehidupan di Jerman sejak beberapa generasi lalu'. -- Agensi.

Tiada ulasan: