20 Mac 2011

Kisah Khairun Yang Baru Tiba Dari Fukushima

Kuala Lumpur: “Kalau diberi pilihan, saya serik ke Fukushima lagi selepas melalui pengalaman ngeri berada di bilik bergoncang. Sebelum ini banyak gegaran tetapi tidak sebesar ini dan ia tidak akan dilupakan sepanjang hidup saya,” kata Khairun Khadijah Isa, 23, pelajar Malaysia yang terselamat dalam kejadian gempa bumi yang mencetuskan tsunami, 11 Mac lalu.

Kejadian itu juga menyebabkan dia tidak pasti sama ada berpeluang bergelar graduan kerana segala persiapan musnah biarpun berjaya menamatkan pengajian beberapa hari sebelum malapetaka itu berlaku.

Menceritakan semula detik kejadian itu, Khairun berkata, dia ketika itu mengemas barang kerana mahu berpindah dari asramanya selepas tamat pengajian baru-baru ini, namun tidak menyangka terpaksa ‘menangguhkan’ hasrat itu buat sementara selepas kawasan itu digegarkan dengan gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter.

Lulusan diploma kejuruteraan elektrik Kolej Teknologi Fukushima itu berkata, pada awalnya dia dan rakan hanya mendengar amaran gempa dikeluarkan pihak berkuasa, namun tidak menyangka beberapa minit kemudian seluruh bilik asramanya bergegar dengan kuat.

“Saya sempat berlari ke pintu bilik untuk mencari tempat selamat. Ketika itu seluruh bilik bergegar dengan kuat menyebabkan semua barang di atas rak jatuh.

“Dalam fikiran saya waktu itu hanya menyelamatkan diri, mujur ada rakan di bilik sebelah, jadi kurang sedikit rasa takut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Khairun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi kelmarin mendakwa terpaksa merasai keperitan hidup tanpa bekalan asas seperti air dan makanan selepas dua hari berlaku gempa serta mengetahui keadaan di sana hanya menerusi televisyen.

“Sehari selepas dilanda bencana itu, keadaan menjadi kelam kabut dengan tiada bekalan air di asrama. Kami terpaksa mengangkut air dari sekolah berhampiran untuk kegunaan harian.

“Hampir seminggu kami tidak mandi kerana bekalan terhad,” katanya.

Menurutnya, dia akan pergi semula ke negara berkenaan pada 29 Mac ini untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Toyohashi di Nagoya.

“Saya bercadang menyambung pengajian di sana (Jepun), namun terpulang juga pada keadaan disebabkan ancaman radioaktif Fukushima Daiici,” katanya. -hm

Tiada ulasan: