16 Mac 2011

Khenduri Kahwin Bertukar Menjadi Majlis Tahlil

Kota Bharu – Majlis kenduri kahwin yang sepatutnya diadakan semalam bagi meraikan bakal pengantin bertukar menjadi jamuan makan dan tahlil ekoran kematian pengantin lelaki, Muhammad Nor Farhan, 26, yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Pasir Puteh-Jelor di Bukit Gedombak, dekat sini Khamis lalu.

Bapa Muhammad Nor Farhan, Razali Salleh, 50, berkata, tindakan itu dilakukan bagi memenuhi hajat arwah anaknya yang ingin menjamu penduduk dan rakan-rakannya. Muhammad Nor Farhan sepatutnya bernikah dengan pasangannya, Tuan Norhidayah Tuan Lah, 24, pada pukul 8 malam hari kejadian.

Bagaimanapun, pekerja Felcra itu maut empat jam sebelum bernikah apabila kereta jenis Proton Satria yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa sekam padi.

Sebelum kejadian, anak sulung daripada enam beradik itu dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Kuala Berang, Terengganu ke rumahnya di Cabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini.

Bercerita lanjut, Razali memberitahu, tujuan dia sekeluarga mengadakan kenduri itu ialah untuk meraikan jemputan yang datang dari jauh dan yang tidak mengetahui mengenai nasib yang menimpa anaknya.

Tinjauan Kosmo! pada pukul 11 pagi semalam mendapati, sebuah khemah berwarna biru dipasang dengan kerusi dan meja selain seekor kambing menjadi sajian tetamu.

“Kejadian tersebut turut membuatkan saya merasa risau mengenai nasib lima lagi anak lelaki saya yang bakal berkahwin kelak. Mungkin kejadian itu akan berulang terhadap mereka.

“Mereka bekerja jauh dan apabila pulang ke kampung, semuanya memandu kereta. Saya terlalu bimbang mengenai nasib mereka,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam. -kosmo

Tiada ulasan: