27 Mac 2011

Aiya Apek, Lu Pun Mahu Cakap Soal Moral Kah?

Soi Lek sendiri terpalit dengan seks haram

Presiden MCA itu tidak layak bercakap soal moral dan integriti - Tian Chua.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu Tian Chua menegaskan bahawa Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek tidak layak bercakap soal moral dan integriti kerana beliau sendiri mengaku melakukan perhubungan seks haram bersama rakan wanita yang dirakamkan dalam video.

Naib Presiden PKR itu membidas kenyataan Chua dalam akhbar The Star semalam menggesa supaya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa beliau (Anwar) bukanlah si pelaku dalam video seks yang didalangi oleh Datuk T.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Tian Chua berkata, “saya pasti rakyat Malaysia turut sama berkongsi rasa mual apabila seorang ahli politik yang mempunyai rekod kurang moral yang diketahui umum cuba memberi komen mengenai moral dan integriti.

“Seluruh rakyat Malaysia arif tentang skandal seks yang melibatkan Soi Lek dan dia sendiri mengakui bahawa dia menjalinkan hubungan seks di luar perkahwinan dengan seorang wanita dan dirakam dalam video,” katanya.

Menurut beliau, perancangan Umno untuk memfitnah Ketua Umum PKR melalui video seks terbaru semakin ditolak rakyat apabila individu-individu yang telah dibuktikan terbabit dalam skandal seks sebelum ini tampil untuk menjadi juara moral dan integriti.

“Rabu lalu ramai rakyat Malaysia ketawa apabila mantan ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik yang terpaksa meletakkan jawatan politik kerana terbabit dalam kes rogol kanak-kanak bawah umur muncul kononnya untuk memastikan bakal pemimpin negara mempunyai moral.

Moral dan integriti

“Hakikatnya, individu-individu ini tidak layak untuk bercakap mengenai moral dan integriti. Mereka juga tidak wajar dibenarkan menukar prinsip keadilan bahawa yang menuduh perlu membawa bukti dan seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

Ujar Tian Chua, “kenyataan Soi Lek semalam secara jelas ingin meletakkan beban bukti kepada Anwar sedangkan kumpulan yang menuduh beliau mempunyai rekod yang buruk di dalam politik.

“Kalau benar individu-individu ini mahu bersyarah mengenai moral, maka mereka perlu menunjukkan teladan yang baik kepada pimpinan muda dan rakyat Malaysia,” terangnya.

“Oleh itu, saya mengulangi desakan yang telah dibuat oleh rakan-rakan saya supaya, Soi Lek meletakkan semua jawatan politik dan bersara terus sebagai tanda dia insaf selepas skandal seksnya tersebar luas.

“Saya juga menyeru supaya Rahim meletakkan semua jawatan dalam kerajaan terutamanya sebagai Pengerusi Risda keranapenglibatannya dengan kes rogol kanak-kanak bawah umur masih kekal dalam ingatan rakyat sehingga kini.

“Jika Soi Lek tidak sanggup menunjukkan teladan yang baik, dia tidak wajar campur tangan dalam skandal video seks yang didalangi

Umno ini kerana rekod moralnya sangat memualkan,” ujar Tian Chua. -FMT


Video seks: Siapa Soi Lek mahu desak Anwar

Desakan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan kebenaran dakwaan terlibat dalam video seks lucah sepertimana yang hangat diperkatakan diselar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Lim ketika berucap dalam ceramah penerangan isu fitnah III malam tadi di sini berkata, Soi Lek yang tidak mempunyai moral yang tinggi kerana terbukti terlibat dalam video seks sebelum ini tidak layak untuk bercakap mengenai hal ini kecuali beliau adalah orang yang bersih.

"Siapa Soi Lek yang cuba mendesak Anwar supaya mengesahkan watak pelakon dalam video seks lucah tersebut. Apakah jika beliau sendiri berpengalaman dan tercemar imej diri dan parti MCA sebelum ini, maka beliau layak untuk bertanya sedemikian?

"Hanya orang yang ada moral tinggi sahaja yang patut bertanyakan perkara ini kepada Anwar," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menyelar Datuk Seri Najib kerana mendakwa Umno tidak mempunyai kaitan dengan isu video seks lucah itu.

"Jika Umno tidak terlibat, apakah Tan Sri Rahim Thamby Chik ini bukan orang Umno. Bila pula beliau keluar dari Umno?" tanya beliau lagi.

Lim juga mendesak Najib supaya tidak bermain dengan cara politik yang kotor semata-mata untuk menyekat kemaraan Anwar.

Katanya lagi, berpolitik harus dengan cara yang bermoral serta berakhlak tinggi, bukannya dengan menjadikan konspirasi yang tidak sudah-sudah semata-mata untuk membenamkan kebangkitan Anwar untuk merampas tampuk pemerintahan negara.

Hadir bersama ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Chegu Bard serta kepimpinan PR negeri dan Kedah. -HD


Tiada ulasan: