16 Feb 2011

Kes Anwar Ditangguh, Mahkamah Bergelap Petang Ini

Perbicaraan Liwat Anwar Terganggu Kerana Bekalan Elektrik Terputus

Gambar: BERGELAP...orang ramai terpaksa bergelap di kantin Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta yang terletak di aras bawah selepas seluruh bangunan terputus bekalan elektrik. Perbicaraan di mahkamah itu termasuk kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa ditangguhkan sehingga masalah bekalan elektrik kembali pulih. Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terganggu berikutan berlaku gangguan bekalan elektrik di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini Rabu.

Bagaimanapun bekalan elektrik pulih pada 11.10 pagi dan perbicaraan disambung semula pada 2 petang.

Bekalan elektrik terputus kira-kira 11 pagi sejurus selepas saksi kelima pihak pendakwaan Dr Seah Lay Hong dari Jabatan Kimia mengangkat sumpah.

Terdahulu, Pakar Penjagaan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur Dr Khairul Nizam Hassan (gambar) semasa memberikan keterangan berkata beliau tidak mengisi beberapa maklumat perubatan penting dalam borang "pro-forma" (laporan protokol perubatan) semasa beliau menjalankan pemeriksaan ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau bersetuju dengan cadangan peguam utama pihak pembelaan Karpal Singh bahawa antara maklumat yang tidak diisi ialah mengenai sejarah seksual pengadu, pemeriksaan fizikal, keadaan yang membawa kepada insiden itu dan sama ada mangsa telah membasuh mulutnya selepas dakwaan "seks oral".

Semasa laporan pro-forma itu dirujuk kepadanya oleh Karpal, Dr Khairul bersetuju bahawa tiada paksaan digunakan semasa perbuatan itu.

Bagaimanapun, katanya pesakit (Mohd Saiful) telah memaklumkan kepadanya bahawa dia telah cuba melawan.

Anwar, 63, anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 6 Jun, 2008.

Kepada soalan Karpal seterusnya, Dr Khairul menjelaskan borang laporan itu hanya sebagai panudan dalam merekodkan sejarah daripada pesakit dan menurutnya dalam kes itu, Mohd Saiful dengan jelas memberitahunya yang dirinya telah diliwat dan diminta melakukan seks oral oleh seorang tokoh berprofil tinggi.

Kepada soalan lain Karpal, Dr Khairul mengakui sebelum menyediakan laporannya itu pada 13 Julai, 2008, beliau sudah membaca laporan kimia yang diterima jabatannya dua hari sebelum itu. -- BERNAMA

TERKINI:


Kes liwat Anwar: Elektrik tidak pulih, perbicaraan tangguh

16/02/2011 2:52pm

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga pagi esok setelah bekalan elektrik yang terputus secara tiba-tiba pagi tadi masih belum pulih petang ini. – Utusan


Ulasan GB

Ini bukan kali pertama mahkamah bergelap. Pada 25 Februari tahun lepas, di dalam kes Mohd Nizar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bergelap selama 15 minit sewaktu semua pihak menunggu sebutan kali ke 2 pembicaraan krisis yang berlaku di Perak.

Pada ketika itu GB membuat ulasan:

Ramai tertanya-tanya apakah "gelap" selama 15 mnit itu akan membawa satu petanda masih ada ruang "gelap" di dalam sistem kehakiman di dalam negara ini?

Jawapannya pada ketika itu: YA, memang ada ruang gelap di dalam sistem kehakiman negara. Itu kes Nizar, sekarang kes Anwar. Sama.

Tiada ulasan: