16 Feb 2011

[Bergambar] Rakyat Bahrain Pula Tunjuk Perasaan, 2 Maut

2 maut dalam pertempuran dengan polis

MANAMA: Dua penunjuk perasaan Syiah maut dalam pertempuran dengan polis Bahrain semalam, mencetuskan desakan diadakan bantahan antikerajaan besar-besaran seperti di Mesir serta Tunisia dan menyebabkan pembangkang memulaukan sidang parlimen.

Persatuan Perjanjian Kebangsaan Islam yang mewakili kaum Syiah dan mempunyai 18 kerusi dalam parlimen yang mempunyai 40 anggota itu menggantungkan keahliannya, kata seorang ahli parlimennya, Khalil al-Marzooq.

Keputusan itu diambil berikutan kemerosotan keadaan keselamatan dan tindakan negatif dan ganas yang diambil pihak berkuasa dalam menangani tunjuk perasaan sehingga menyebabkan dua orang maut, katanya.

“Fadel Salman Matrouk ditembak mati di depan hospital Suleimaneya di mana orang ramai berkumpul untuk menyertai pengebumian syahid pertama,” kata Marzooq.

Kementerian dalam negeri berkata, sesetengah rakyat yang menyertai pengebumian itu bergelut dengan pasukan keselamatan yang membawa kepada kematian Matrouk.

“Penyiasatan dijalankan untuk menentukan keadaan kes itu,” katanya.
Msheymah Ali meninggal awal pagi semalam selepas cedera parah ketika polis Bahrain cuba meleraikan orang ramai yang menunjuk perasaan di sebuah kampung di timur Manama, kata seorang pegawai.

Kementerian dalam negeri mengumumkan kematian penunjuk perasaan itu disebabkan kecederaannya dan siasatan terbuka akan dilakukan sama ada polis terpaksa menggunakan senjata untuk meleraikan penunjuk perasaan di kampung Diya.

Pihak berkuasa Bahrain menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan perhimpunan antikerajaan yang dikenali sebagai Hari Kemarahan.

“Mereka bersurai apabila gas pemedih mata ditembak di kawasan hospital dan mereka kembali berhimpun,” kata ahli parlimen daripada parti pembangkang Syiah, Ibrahim Mattar.

Saksi berkata, Ali cedera kelmarin ketika pergelutan di antara penunjuk perasaan dan polis.

Orang ramai berkumpul menyertai bantahan antikerajaan itu selepas berita kematian berkenaan disiarkan dalam laman Facebook.

Saksi memberitahu protes dilakukan sejak Isnin di kawasan penduduk majoriti Syiah di barat, timur dan utara ibu negara ini selain kawasan bersejarah Balad al-Qadim, pusat bandar Manama.

Perarakan itu yang bermula dengan hanya beberapa orang bertukar menjadi ratusan penduduk, kata mereka.

“Tiada tangkapan dilakukan semasa demonstrasi tetapi dalam sesetengah kes polis bergaduh dengan penunjuk perasaan,” kata pegawai polis.

Pasukan keselamatan dikerah mengawasi sepanjang jalan utama ke Manama untuk mengelakkan perhimpunan besar-besaran diadakan yang dicetuskan dalam internet seperti inisiatif online yang berlaku di dunia Arab.

Laman Facebook itu menyeru kebangkitan pada 14 Februari diilhamkan daripada bantahan yang menjatuhkan regim di Tunisia dan Mesir turut menarik lebih 22,000 pengguna untuk mengundi ‘suka’.

Mesej pada laman itu bertulis “Ini adalah peluang anda untuk membuka laluan untuk pembaharuan sosial dan politik dengan perubahan yang berlaku di Asia Barat. Pada 14 Februari, kita menyanyi bersama-sama. Rakyat mahu perubahan regim”.

Seperti di negara Arab lain, rakyat Bahrain menggunakan internet untuk meminta kerajaan menyediakan pekerjaan untuk orang muda dan menaikkan gaji.

Dengan penduduk majoriti Syiah, Bahrain diperintah khalifah daripada Sunni, Raja Hamad yang mengekalkan penguasaan terhadap jawatan perdana menteri dan kementerian utama.

Pada 1990-an, negara kepulauan Arab yang berada di laluan Teluk itu digegarkan dengan gelombang rusuhan Syiah dan reda sejak perubahan parlimen pada 2001.

Bagaimanapun, pihak pembangkang Syiah membantah kuasa perundangan dikongsi bersama dewan negara yang dilantik dan menuduh pihak berkuasa cuba menukar demografi dengan menerima pendatang Sunni. – AFP/ Reuters.












Tiada ulasan: