12 Feb 2011

Keluarga Pertikai Tindakan Polis

Bahau: Ahli keluarga kepada seorang lelaki yang mati terkena tembakan polis ketika mengamuk di rumahnya di Taman Cempaka di sini, Isnin lalu, mempertikaikan tindakan itu dan meminta Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Adik lelaki berkenaan, Ahmad Hairail Adzuan Abu Bakar, 26, berkata, polis tidak sepatutnya melepaskan tembakan kerana mempunyai banyak cara lain memujuk abangnya sebelum kejadian itu.

“Polis tidak membenarkan campur tangan keluarga memujuk abang saya yang tidak bersenjata yang ketika itu berada di dalam rumah, malah tindakan polis menggunakan pistol tersasar menyebabkan abang saya terancam dan mula bertindak agresif.

“Kejadian ini berlaku kerana wujudnya provokasi kerana sepanjang pengetahuan kami sekeluarga serta penduduk di taman ini, abang saya tidak pernah bertindak ganas atau mengamuk dan dia bukan gila seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya pada sidang media di rumahnya, semalam.

Menurutnya, tujuan ibunya Habibah Mahmud, 60, menghubungi polis bukan kerana abangnya mengamuk, sebaliknya bagi memujuknya mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, dia diberitahu ibunya bahawa abangnya itu kehabisan ubat beberapa hari lalu dan tidak tidur selama dua hari.

“Ibu saya menghubungi Hospital Kuala Pilah dan mereka mengarahkan ibu saya meminta polis membawanya ke hospital,” katanya.

“Keluarga saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan dipantau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, polis menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan meminta pihak luar supaya tidak membuat tuduhan sehingga siasatan selesai.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Isnin lalu, anggota polis berpangkat sarjan cedera parah di kepala, leher dan telinga kirinya hampir putus dilibas dengan parang.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terimalah hakikat bahawa apa yang telah berlaku adalah kehendak tuhan. Buat apa nak salahkan Polis. Memang malang apabila nyawa hilang tetapi anggota Polis yang dicederakan oleh abang kamu mungkin cacat dan mengalami kesan parut sepanjang hayat. Adakah anggota Polis ini bersungut kamu yang menganggu tugas dia menyebabkan dia cedera. Ingat bukan semua Polis tak baik.

calvinraj berkata...

sokong pandangan anda di atas.