26 Feb 2011

Dua Rakan Masukkan Pil Khayal Dalam Minuman Peniaga

Kuala Lumpur: Dua lelaki dipercayai mencampurkan pil khayal dalam minuman seorang ahli perniagaan sebelum melarikan kenderaan miliknya ketika mangsa tidur.

Lebih malang apabila mangsa hanya tersedar keesokan harinya sebelum mendapati kenderaannya sudah tiada dipercayai dilarikan dua lelaki terbabit.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang Rabu lalu, mangsa yang berusia 31 tahun keluar minum dengan dua lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, suspek mempelawa mangsa ke sebuah hotel mewah di Jalan Changkat Thamby Dollah, di sini, sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah bilik hotel disewa itu.

“Di hotel berkenaan, mangsa mendakwa diberi minum oleh seorang daripada suspek sebelum pening dan tidak sedarkan diri. Difahamkan, mangsa pengsan akibat meminum air yang dicampurkan pil khayal.

“Mangsa yang tertidur hanya sedarkan diri sehari kemudian sebelum mendapati dua rakannya itu sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang keliru keluar dari hotel itu untuk ke keretanya sebelum terkejut apabila mendapati Toyota Avanza milik abangnya hilang.

“Mangsa menghubungi kedua-dua rakannya itu, namun suspek mematikan telefon. Berikutan itu, mangsa yakin diperdaya suspek yang membuatnya pengsan sebelum melarikan kenderaan itu.

“Mangsa menghubungi abangnya bagi memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini. Susulan itu, polis melakukan siasatan dengan mengambil keterangan mangsa selain cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari hotel berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang pelajar lelaki berusia 30 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa ditumbuk rakannya selepas dinasihati supaya memperbaharui visa bagi membolehkannya tinggal secara sah di negara ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, mangsa berjumpa suspek di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini, sebelum berlaku pertengkaran selepas suspek enggan mendengar nasihatnya.

Suspek yang naik berang menumbuk muka mangsa berulang kali menyebabkan mata sebelah kiri mangsa lebam. Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan polis. -hm

Tiada ulasan: