6 Jan 2011

Tiga Kedai Dirempuh Treler

Treler rempuh tiga kedai di Chemor

Gambar: KEADAAN treler yang remuk teruk selepas terbabas dan merempuh tiga kedai di Jalan Kuala Kangsar, Chemor, hari ini. Dalam kejadian itu, pemandu treler, Mat Lazim Osman, 51, yang berasal dari Kampung Tunku Husin, Manjoi mengalami cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. - Foto Ikhwan Munir

IPOH: Seorang pemandu treler nyaris maut selepas merempuh tiga kedai di Jalan Kuala Kangsar, Chemor, hari ini.

Ketua Polis Trafik Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab, berkata dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa Mat Lazim Osman, 51, yang berasal dari Kampung Tunku Husin, Manjoi hanya cedera ringan di kaki.

"Mangsa yang tersepit dalam treler berkenaan dikeluarkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rodzi berkata, nahas berlaku ketika Lazim memandu treler membawa muatan simen dalam perjalanan dari Kuantan ke Ipoh.

"Treler berkenaan dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga buah kedai," katanya.

Katanya, sebuah Proton Gen-2 yang diletakkan di tepi kedai berkenaan turut rosak akibat dihempap oleh runtuhan kedai terbabit.

Beliau berkata, pemilik kedai terbabit juag tidak berada di premis berkenaan ketika kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: