6 Jan 2011

Harga Getah Naik Kes Curi Getah Pun Naik

Kes curi getah meningkat

KERDAU – Lebih 5,000 penduduk dengan bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di 10 kampung dekat Kerdau terpaksa bergilir-gilir menjaga ladang untuk mengelakkan hasil getah dicuri penjenayah.

Dengan harga getah mencecah RM7 sekilogram, mereka terpaksa menubuhkan pasukan rondaan dan membina pondok bermalam di ladang getah gara-gara kegiatan mencuri getah semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Ketua Kampung Kelibang, Kerdau, Abdul Hamid Jainal, 62, berkata, sepanjang bulan Disember tahun lepas, sebanyak 12 kejadian mencuri getah berlaku di kampung itu.

“Bagi mengelakkan kegiatan itu berleluasa, Rela dengan kerjasama penduduk dan pemilik ladang menjalankan rondaan serta berjaga pada waktu malam.

“Langkah yang diambil Rela, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk untuk melakukan rondaan serta berkawal berjaya membendung kejadian itu,” katanya.

Abdul Hamid berkata, mereka akan terus melakukan rondaan secara bersepadu untuk memastikan kejadian mencuri getah tidak berulang.

Menurutnya, sebanyak 85 peratus daripada 5,000 penduduk dari 10 kampung itu bekerja sebagai penoreh getah manakala yang lain berniaga sendiri, bekerja kilang dan sebagainya.

“Penduduk di sekitar Temerloh dinasihatkan supaya sentiasa mengawal hasil ladang mereka untuk mengelakkan ia menjadi sasaran penjenayah berikutan terletak jauh dari penempatan penduduk.

“Masalah kecurian getah bukan sahaja berlaku di Kerdau dan Temerloh malah membabitkan kawasan lain memandangkan harganya semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, terdapat penoreh yang mampu meraih pendapatan sehingga RM600 sehari namun mereka terpaksa berdepan pelbagai ancaman termasuk kegiatan kecurian yang berleluasa sejak akhir-akhir ini. -SH


Harga getah tertinggi dalam sejarah negara

LABIS 6 Jan. - Harga pasaran getah SMR 20 yang kini mencecah paras RM15.06 sekilogram merupakan kadar tertinggi kenaikan harga komoditi itu yang dicapai dalam sejarah negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kenaikan harga berkenaan sekali gus memberi kebaikan kepada pekebun kecil dengan mendapat keuntungan yang tinggi kepada mereka.

"Unjuran kenaikan ini merupakan unjuran yang tinggi. Getah adalah komoditi yang stabil. Kalau harga turun pun, ia tidak banyak.

"Saya lihat dari segi purata, kalau mereka (pekebun kecil) mempunyai dua hektar tanah, mereka mendapat RM5,600 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen tanam semula peringkat Johor, di sini, hari ini -Bernama


Tiada ulasan: