20 Jan 2011

Rumah GAPENA Dipecah Masuk

Kuala Lumpur - Rumah Gabungan Penulis Nasional (Gapena) di Jalan Dewan Bahasa di sini dipecah masuk dipercayai malam tadi, dan beberapa peralatan seperti komputer, mesin cetak dan televisyen LCD dilarikan.

Ketua Media dan Pehubungan Awam Gapena Borhan Md Zain berkata, kejadian itu disedari oleh beberapa krew drama yang hendak mengambil alat-alat penggambaran mereka kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di premis itu.

"Antara yang hilang ialah lima komputer, dua mesin cetak (printer), sebuah televisyen LCD dan dokumen-dokumen berkaitan buku Interlok.

Semua komputer itu turut mempunyai maklumat berkaitan Interlok," katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi kira-kira pukul 2 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daaerah (IPD) Dang Wangi untuk pengesahan dan siasatan lanjut. - Bernama

Tiada ulasan: