20 Jan 2011

Exco Melaka Masih Koma

ADUN Merlimau dilaporkan kritikal

MELAKA: EXCO Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, yang mengalami masalah jantung sejak minggu lalu, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Pakar Putra di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, difahamkan ketika ini ditempatkan dalam bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam yang melawat Mohamad Hidhir sejak dari jam 3.15 petang tadi masih belum meninggalkan bilik berkenaan.

Sementara itu, Mohd Ali menyatakan kekesalannya terhadap laporan salah mengenai Mohamad Hidhir dan berkata, ia adalah laporan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau merujuk kepada berita Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) sebuah Utusan Malaysia awal tadi mengenai ADUN Merlimau yang dikatakan sudah meninggal dunia akibat serangan jantung, sedangkan beliau masih dirawat di hospital berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Ali mengesahkan ADUN Merlimau berada dalam keadaan kritikal dan kini bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

“Dia ada di ICU, dia gunakan alat bantuan pernafasan. Saya ada di hospital lihat keadaan dia,” kata Ketua Umno Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah yang juga Ahli parlimen Jasin.

Terdahulu laporan beberapa portal dan laman web menyebut beliau telah meninggal dunia.


ADUN Merlimau berada dalam keadaan kritikal di Hospital Putra

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dalam keadaan koma dengan menggunakan alat sokongan di unit kawalan rapi (ICU) Hospital Pakar Putra di sini petang ini.

Antara yang hadir menziarahi beliau di hospital adalah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Sewaktu menziarahi beliau sebentar tadi bersama beberapa anggota Exco negeri, beliau berada dalam keadaan koma dan bernafas menggunakan alat sokongan mesin," katanya kepada pemberita di Hospital Putra di sini pada empat petang tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak media agar tidak membuat spekulasi mengenai kedudukan terkini Mohamad Hidhir kerana terdapat laporan berita portal media mengatakan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri itu telah meninggal dunia.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Januari lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidakselesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lalu, dan ujian mendapati arterinya tersumbat. - BERNAMA


Tiada ulasan: