9 Jan 2011

PKR Perak Mahu Mustaffa Kekal

Ipoh – Satu memorandum diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meminta supaya Mustaffa Kamil Ayub dikekalkan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (PMPN) Perak.

Ketua Penerangan PKR Negeri, Zulkifly Ibrahim berkata, undian memilih PMPN dibuat pada 16 Disember lalu selepas pertemuan ketua cabang dengan Naib Presiden, Datuk Dr Mansor Osman.

Menurutnya, Mustaffa Kamil mendapat 13 undi, manakala Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty 10 undi.

“Mengapa pimpinan pusat hantar Naib Presiden, Fuziah Salleh pada 23 Disember lalu untuk bertemu lima pimpinan kanan cabang dengan misi mendapat persetujuan bagi perlantikan PMPN.

“Ini bertentangan dengan fasal 16.6 perlembagaan parti yang menetapkan Pengerusi Majlis Pimpinan setiap negeri dan Wilayah Persekutuan hendaklah dilantik presiden setelah berunding dengan ketua cabang di negeri berkaitan,” katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Zulkifly berkata, keadaan itu telah menimbulkan situasi dan keadaan yang kurang selesa dalam kalangan pemimpin cabang negeri.

Beliau berkata, perkara ini telah menimbulkan keraguan dan konflik pada pimpinan cabang dalam konteks mewujudkan budaya patuh terhadap perlembagaan di dalam parti.

“Dalam saat parti yang sedang tercemar imejnya, berikutan manipulasi dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan hubungan sesama ahli-ahli yang masih belum dipulihkan, tiada indikator yang serius untuk menyelesaikan bantahan yang dikemukakan oleh cabang yang terlibat.

“Kini timbul satu lagi keadaan yang memualkan khususnya di Perak yang mengundang bencana kepada parti dalam menghadapi PRU13 yang sangat hampir iaitu melibatkan pemilihan PMPN,” katanya.

Beliau berkata, di dalam memorandum itu juga turut disertakan dengan pendapat perundangan mengenai pelantikan PMPN.

Menurutnya, pelantikan mana-mana pihak selain daripada yang diputuskan oleh suara majoriti ketua-ketua cabang adalah bercanggah dengan perlembagaan parti yang diamalkan berdasarkan prinsip demokrasi yang adil dan bebas.

Beliau berkata, Presiden telah memberi hak mengundi kepada ketua-ketua cabang sebagai kaedah pemutus dan keputusan itu mestilah dilaksanakan bagi mengelakkan pertikaian atau keraguan terhadap integriti parti serta pimpinannya. -SH

Tiada ulasan: