8 Jan 2011

Lepas Kes Curi Getah Kini Kes Curi Kelapa Sawit

Harga naik, kecurian buah sawit pun meningkat

LUMUT, 8 Jan — Pengusaha ladang dan kebun sawit di Manjung dinasihati supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kebun mereka ekoran kegiatan mencuri buah sawit yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, kata Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman.

Beliau berkata polis menerima banyak aduan mengenai kes kecurian buah sawit yang didapati semakin menjadi-jadi berikutan peningkatan harga kelapa sawit di pasaran.

Beliau berkata polis Khamis lepas menahan seorang remaja berusia 18 tahun dalam satu serbuan ke sebuah ladang kelapa sawit di Ayer Tawar.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata dalam serbuan pada kira-kira 4 pagi itu, sekumpulan lelaki didapati sedang sibuk memuatkan buah kelapa sawit ke dalam sebuah lori.

Bagaimanapun, katanya kumpulan itu sempat melarikan diri sebelum pemandu lori berusia 18 tahun itu diberkas di sebuah rumah tidak jauh dari ladang berkenaan.

Mohd Jamil berkata polis sedang mengesan rakan pemuda terbabit dan kumpulan itu dipercayai antara beberapa kumpulan yang sedang giat menjalankan aktiviti jenayah berkenaan di daerah ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dua lelaki berumur 26 dan 22 tahun diberkas kerana disyaki menyamun tiga buah kedai 24 jam di Seri Manjung dan Sitiawan pada Selasa lepas.

Beliau berkata dua suspek itu diberkas semalam di sekitar Kampung Koh dan polis turut merampas sepucuk pistol mainan, sebilah pisau dan topeng muka daripada mereka. — Bernama

Berita sebelum ini

Harga Getah Naik Kes Curi Getah Pun Naik

Tiada ulasan: