12 Jan 2011

Janda, Mat Gian Dicekup Khalwat

Ketengah Jaya – Hubungan persahabatan seorang pemuda dengan rakan sekolah lamanya berputik semula apabila orang yang dikasihi kembali hidup sendirian setelah gagal melayari bahtera rumahtangga.

Hubungan terbabit tidak berakhir di situ, sebaliknya bibit-bibit cinta yang masih berputik antara mereka biarpun sudah hampir 10 tahun terlerai itu kembali terpaut apabila kedua-duanya mula menjalinkan hubungan sulit sebagai kekasih.

Bagaimanapun, rahsia percintaan janda anak satu itu terbongkar apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berada bersama teman lelakinya di dalam bilik tidur rumahnya, dekat sini.

Ketika serbuan dilakukan, teman lelaki berusia 25 itu dikatakan cuba menyembunyikan diri di sebalik kain langsir, manakala janda yang mempunyai seorang anak bersekolah dalam Tahun Dua di sekolah rendah berdekatan itu berada di dalam selimut atas katil.

Teman lelaki ibu tunggal terbabit selepas menjalani ujian air kencing turut didapati positif dadah dan ia menguatkan dakwaan bahawa suspek terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan pasangan itu turut dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Negeri Terengganu yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Teman lelaki janda itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah jenis Methapethamine. -SH

Tiada ulasan: