21 Ogo 2010

PAS Dan Operasi Lalang

Operasi Lalang - sesuatu yang begitu digeruni oleh rakyat Malaysia. Satu peristiwa hitam yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 di era Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri oleh polis Malaysia bagi menangkap mereka yang konon dikatakan mengeruhkan suasana politik 1987.

Selepas pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987, UMNO telah berpecah kepada dua kumpulan, iaitu Pasukan A yang diketuai oleh Dr Mahathir di bawah UMNO Baru dan Pasukan B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah di bawah parti Semangat 46. Semangat 46 kemudian menubuhkan sebuah parti campuran dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bernama Angkatan Perpaduan Ummah untuk bertanding dengan UMNO BN.

Untuk menentang Angkatan Perpaduan Ummah, Operasi Lalang dilancarkan. Dalam Operasi Lalang ini, 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Operasi Lalang ini menimbulkan kontroversi kerana mereka yang 'bersalah' terlepas. Sebaliknya pemimpin pembangkang yang berada di tepi 'arus' telah ditangkap dan dipenjarakan di Kem Tahan Kamunting, Taiping, selama 2 tahun atau lebih.

Namun, "hikmah" terbesar daripada Operasi Lalang ialah pada pilihanraya 1990, UMNO BN hanya mampu memenangi 127 kerusi daripada 180 kerusi dalam Dewan Rakyat, ini merupakan 70.6% daripada jumlah kerusi, dan merupakan satu penurunan sebanyak 2.4% berbanding pilihan raya yang terakhir; bilangan undi sebanyak 53.4% merupakan satu pengurangan sebanyak 7.8%. UMNO-BN hilang kuasa di Kelantan di tangan PAS-Angkatan Perpaduan Ummah dan Sabah ditangan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Lim Kit Siang yang ditahan di dalam Operasi Lalang dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Mohd Sabu yang di kurung di Kamunting sehingga Januari 1990 telah menang di dalam pilihanraya 1990 mengalahkan Datuk Annuar Musa dengan majoriti hampir 8,000 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri pada masa itu.

Walaupun parti-parti pembangkang memperolehi lebih kurang 30% jumlah kerusi akibat pembahagian sempadan yang senget sebelah oleh Suruhanjaya Pilihanraya, namun pada keseluruhannya parti pembangkang ketika itu memperoleh 46.6% daripada jumlah undi.

Hal yang hampir sama berlaku pada pilihanraya 1999 dan 2008.

Sebelum pilihanraya 1999, satu konpirasi berlaku dimana mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah ditahan oleh pihak polis atas tuduhan-tuduhan yang dianggap secara meluas seperti liwat sebagai ditimbulkan oleh alasan politik dan pertentangan pendapat antara Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad dengan timbalannya.

Rakyat seluruh negara memberikan protesnya dengan menyokong Barisan Alternatif yang dibentuk pembangkan menghadapi UMNO BN, dan di dalam pilihanraya 1999 itu UMNO BN hanya mampu meraih kerusi parlimennya sebanyak 148, jatuh 8.6% berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada tahun 1995.

Barisan Alternatif mensasarkan untuk menghapuskan majorti 2/3 UMNO BN di Parlimen, namun tidak kesampaian. Namun apa yang menarik, PAS mencapai prestasi yang melonjak. Selain daripada mengekalkan negeri Kelantan, parti ini juga mengambil alih kerajaan Trengganu daripada BN. Kekuatan PAS di Parlimen bertambah dari hanya 7 kerusi pada tahun 1995 sehingga 27 kerusi, iaitu satu lompatan hampir empat kali ganda.

Serupa juga pada peringkat negeri, kekuatannya bertambah hampir tiga kali ganda dari 33 kerusi sehingga 98 kerusi dalam pilihan raya ini. Berdasarkan keputusan ini, Ustaz Abdul Hadi Awang dari PAS mengambil alih kepimpinan pembangkang dalam Parlimen yang dipegang oleh Lim Kit Siang daripada parti DAP.

Di dalam pilihanraya 2008 pula, rakyat Malaysia telah menyaksikan keganasan dan kezaliman polis terhadap beberapa siri perhimpunan rakyat seperti perhimpunan Bersih 2007 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan disertai oleh 100, 000 orang. Tian Chua yang merupakan Ketua Penerangan KeADILan telah ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), di Johor Bahru, jam 5.15 petang pada 9 Disember 2007 kerana menjadi penggerak perhimpunan Bersih itu.

Polis juga telah bertindak ganas pada perhimpunan rakyat di Kuala Terengganu 2007. Polis telah melepaskan peluru hidup kepada Suwandi dan Azman. Malangnya anggota polis yang menembak dilepaskan, Suwandi dan Azman pula yang didakwa di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan.

Akibatnya pada pilihanraya 2008, UMNO Barisan Nasional telah dinafikan majoriti 2/3 dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti mudah (iaitu lebih daripada 1/2 jumlah kerusi, tetapi kurang daripada 2/3 jumlah kerusi). Pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat akhirnya berjaya mencapai sasaran: menafikan 2/3 majoriti. Menariknya Tian Chua yang dibelsah cukup-cukup oleh polis telah dihantar rakyat ke Parlimen!

Bagi Dewan Undangan Negeri pula, Barisan Nasional gagal mempertahankan kerajaannya di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal mencapai hasratnya untuk membentuk kerajaan di negeri Kelantan.

Pilihan raya kali ini juga melihatkan kegagalan banyak ahli politik veteran mempertahankan kerusi mereka, antaranya termasuk Koh Tsu Koon, Samy Vellu, Shahrizat Abdul Jalil, M. Kayveas, Zainuddin Maidin.

Harus diperhatikan bahawa Barisan Nasional hanya berjaya meraih kemenangan besar di Sabah, Sarawak dan Johor atas sebab pembahagian kawasan parlimen yang memihak kepadanya - banyak kerusi diwujudkan di kawasan-kawasan ini, tetapi kepadatan penduduknya adalah jauh lebih rendah daripada kepadatan penduduk di negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Rekod kekalahan Barisan Nasional kali ini adalah yang paling buruk diikuti Pilihan Raya 1969 dan 1999.

GB memutarkan kembali kisah-kisah itu untuk memberikan satu gambaran jelas kepada semua ahli-ahli PAS dan Pakatan Rakyat yang begitu takut dengan Operasi Lalang.

PAS seperti sudah menjadi pondan semenjak era UG. Diperburukkan lagi oleh penyokong-penyokong taksub UG sehinggakan PAS menjadi semakin hari semakin lesu lantarannya. Ditambah pula dengan YB-YB khianat yang sudah tidak lagi bersama rakyat dan perjuangan, tetapi telah leka dan alpa dengan kemewahan, pangkat dan kekayaan.

Ceramah-ceramah PAS sudah lesu, ceramah pemimpin-pemimpin tertinggi parti terutama dari mereka yang dikaitkan dengan UG sudah kurang, dan kalau ada pun tidak mendapat sambutan rakyat kerana sudah tiada "roh perjuangan" di dalam ceramah-ceramah tersebut. Pemimpin tertinggi parti adanya sudah tidak bersama rakyat lagi di dalam perhimpunan-perhimpunan seperti Perhimpunan Anti-ISA, Anti-Kenaikan Harga dan sebagainya kerana sayangkan kedudukan dan takut ditangkap polis!

Malah sudah ada pemimpin PAS yang beralasan "selsema", itu sebab tak dapat hadir di perhimpunan. Belum lagi hilang tangan hilang kaki seperti para pejuang peperangan Badar, Uhud dan Khandak.

Pemimpin PAS sudah dijangkiti penyakit futur (lembab). Futur ialah suatu penyakit yang dapat menimpa sebahagian aktivis dan akan menimpa mereka secara praktikal (dalam bentuk perbuatan). Tingkatannya yang paling rendah berupa kemalasan, menunda-nunda atau melambat-lambatkan. Sering memberi alasan bahawa tugas dakwah itu sukar dan tidak mampu untuk melaksanakannya, meminimakan penglibatan diri dalam misi dakwah organisasi atau sekadar menawar diri untuk membuat tugasan yang paling mudah sahaja. Sedangkan kemuncak penyakit futur ini adalah berhenti sama sekali setelah sebelumnya rajin dan bersemangat.

Ada yang memberikan alasan "wala' kepada pemimpin" untuk terus mempertahankan pemimpin yang futur ini.

GB sudah mengulasnya sebelum ini sempena sambutan Maal Hijrah. Petikan:


PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.

Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural.

Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.

Tulisan ini GB bawa untuk sama-sama kita renungkan mengenai kepincangan yang sedang dialami oleh PAS kini, sebagai satu bahan penelitian untuk menerima seadanya apa yang berlaku kini sebagai satu "sunatullah" untuk mentransformasikan PAS kepada sebuah organisasi dakwah dan politik yang lebih berjaya.

Suka atau tidak suka, perubahan pasti berlaku. Tidak ada dua hari yang bernar-benar serupa pada manusia dan sekalian alam, begitulah kepada PAS. Kesemua faktor perubahan berlaku dengan mengakui adanya nilai konstans - iaitu dasar perjuangan yang tetap.

Hari ini tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi lagi. Kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan sesbuah organisasi dan kepimpinannya diteliti, dibedah, disiasat, dianalisa dan didokumentasikan di bilik-bilik kuliah universiti di dalam pelbagai matapelajaran di dalam bentuk "case study" dan PAS tidak terlepas darinya.

Malah dalam beberapa keadaan ia kini menjadi desertasi untuk seseorang bergelar sarjana dan pemegang PhD.

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.


Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.



Justeru itu, kita ingin menyatakan kepada polis, kepada UMNO BN. Teruskan rancanganmu untuk Operasi Lalang II jika ada. Masukkan Anwar ke dalam penjara sekali lagi jika anda berani. Masyarakat dunia akan saksikan UMNO BN dikuburkan pada pilihanraya akan datang!

Kepada seluruh ahli PAS dan Pakatan Rakyat, JANGAN TAKUT!

12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Satu tulisan terbaik dari GB!

Tanpa Nama berkata...

kpd seluruh saf kepemimpinan...kita sudah berada di laluan yg betul...jgn silap memulas stering...jgn pula masuk mn2 simpang yg membw kita ke jln mati....kejayaan hr ini hasil sokongan padu ahli dan bkkn ahli ....tunaikan segera janji p.raya....turun ke bwh..jumpa rakyat...jgn ikut budaya org lain...kekal cara hidup spt rakyat marhaen.....br rakyat akan percaya kpd PAS.......kalau mrk sudah lari dan x percaya...sukar utk mengembalikan kepercayaan mrk.....

Tanpa Nama berkata...

Pas sudah matang. Pendedahan ini boleh dijadikan iktibar agar pemimpin2 pas berhati2 dalam mengeluarkan kenyataan.. jangan terlalu ikut rentak yang dimainkan oleh umno.. Kita perlu bersatu jika ingin melihat PR berjaya menerajui putrajaya..

Tanpa Nama berkata...

Satu ulasan bernas dari seorang inttelektual yg PAS miliki. Tapi malangnya PAS di era UG ini meminggirkan peranan para intelektual, malah diejeknya seperti yang berlaku ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Malang sungguh nasib mereka.

mat bosan berkata...

Taniah kepada GB mengingatkan kembali sejarah hitam negara yang dilakukan oleh Mahathir Kutty.Mahathir kata orang Melayu cepat lupa - silap,silap,silap.Dendam orang Melayu (khusus kepada pengkhianat agama dan bangsa)sukar padam.Yang cepat lupa hanya Mamak.Ada baiknya Operasi Lalang ni diselidik dengan teliti dan dibukukan kerana masih ramai yang hidup ditangkap sewenang-wenangnya masa Operasi Lalang.Jadikan buku ini sebagai satu "contoh dan bukti" akan kerakusan pihak-pihak yang terlibat.

Tanpa Nama berkata...

sebab tu UMNO tak mau hapus ISA, senjata utama menekan rakyat

Tanpa Nama berkata...

majoriti tahanan ISA umat islam, sebab melayu bodoh sokong UMNO

Unknown berkata...

anon 5.33

GB tak lah mengaku GB ni seorg intelektual, tapi kita perlu tidak menyisihkan sesiapa yang ingin membantu parti, bukan bersikap kpd mereka. Yg ruginya parti, yg ruginya perjuangan Islam.

Jika tak perlukan kami, sebut saja nanti dlm muktamar, katakan blogger spt GB tak diperlukan dalam parti. Kami boleh berundur. Tapi kami takkan berundur memperkatakan kebenaran.

Puas sudah GB diejek dicemuh dimaki dicaci dan sebagainya oleh pendokong UG selama ini, apatah lagi oleh golongan UMNO yg sememangnya benci kepada pendedahan kebenaran.

Namun insyaAllah GB amat yakin GB benar dan Allah menyertai orang-orang yg benar.

Tanpa Nama berkata...

bravo GB. baru naik semangat semula. pr boleh dan tetap akan menang!

Tanpa Nama berkata...

tulisan yg mantap.

tahniah.

Tanpa Nama berkata...

kita hanya wajib takut kepada Allah tidak selainnya.... adalah satu dosa besar yang kita lakukan sekiranya ada rasa takut kepada manusia yang durjana walaupun sedikit... INGATLAH WAHAI UMAT ISLAM... JIKA KITA MENGAKU ISLAM, MAKA BANGUNLAH DARI MIMPI YANG TIDAK MEMBERIKAN APA2 KEPADA KITA. PERJUANGAN YANG MEMERLUKAN PENGORBANAN DAN SERAHKAN SEGALA2NYA UNTUK ALLAH... ITULAH SEBENAR2NYA PERJUANGAN.... UNTUK KITA MENIKMATI KEBAHAGIAAN DI AKHIRAT KELAK... HARUS KITA INGAT ... DUNIA INI HANYALAH SEMENTARA.. YANG AKAN KITA LEPASKAN... YANG PERLU KITA GENGGAM IALAH AKHIRAT..
ALLAHU AKHBAR....

Tanpa Nama berkata...

tahniah GB, mansuhkan ISA dan mansuhkan UMNO parti perkauman