18 Jul 2010

Setahun Berlalu, Pembunuh Teoh Masih Bebas

Lim Guan Eng: Mungkin Najib bunuh diri jika kahwin Rosmah esok?

"Mungkinkah Najib akan bunuh diri jikalau beliau akan berkahwin dengan Rosmah pada keesokannya? Tak mungkin, kan? Kerana beliau cintakan Rosmah. Kalau Najib tidak akan berbuat demikian, mungkinkah Teoh Beng Hock (yang sudah merancang untuk kahwin pada keesokannya) bunuh diri?"

Demikianlah logik yang digunakan oleh Lim Guan Eng, Setiauasaha Agung DAP untuk menolak kemungkinan bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), setahun yang lalu. Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah disiasat polis kerana mengeluarkan kenyataan bahawa "Teoh Beng Hock dibunuh" ini mengulangi pendiriannya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

"Pada malam ini, saya mengulangi di sini, saya tak percaya Teoh Beng Hock membunuh diri, boleh tak?" Kenyataannya ini disambut tepukan kira-kira 1,000 orang hadirin, sebelum beliau menyambung, "Tak kiralah apa alasan yang anda berikan, saya tetap tidak percaya bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri. Kalau Teoh Beng Hock tidak membunuh diri, apakah punca kematiannya?"

Lim Guan Eng berkata demikian dalam satu Majlis Peringatan mendiang Teoh Beng Hock, bekas setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Exco kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor. Selain keluarga mendiang Teoh Beng Hock, pemimpin politik yang menghadiri majlis peringatan tersebut termasuklah Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, ahli parlimen Lembah Pantai-PKR, Nurul Izzah, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh dan ramai lagi pemimpin DAP.

Gobind Singh, juga ahli parlimen Puchong-DAP yang berucap sebelum Lim Guan Eng, memberi janji kepada keluarga Teoh dan rakyat bahawa DAP akan cuba sedaya upaya menegakkan keadilan untuk Teoh Beng Hock.

"Kita akan lawan sampai habis untuk Teoh Beng Hock! Biarlah mereka datang kepada kita, biarlah mereka menakutkan kita dengan laporan polis, biarlah mereka ugut kita dengan tuduhan hina mahkamah. Biarlah mereka buat apa sahaja yang perlu..." sebelum beliau menyambung, "Tetapi mereka tidak akan dapat mematahkan semangat kita, kerana kita akan terus berjuang, tuan-tuan dan puan-puan!"

Kenyataan SPRM undang kritikan

Antara yang menjadi isu semalam, termasuklah kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Abu Kassim bin Mohamed, yang ditulis dalam bahasa Cina buat kali pertamanya. Tuntutan ahli politik jelas lebih daripada "ucapan takziah" dan "kenyataan berkongsi kesedihan", sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Kassim.

Misalnyam Gobind Singh mendesak Abu Kassim untuk tampil ke depan dan membuat kenyataan terbuka bahawa ,"Ya, kami (SPRM) menerima bahawa beliau (Teoh) di bawah tahanan kami, kami menerima bahawa kami tidak sepatutnya menahannya sepanjang malam, kami menerima bahawa kami harus bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock!"

"Kalau benar anda sedih, kalau benar anda berkongsi kepiluan... (anda perlu) minta maaf, menerima tanggungjawab tersebut, dan memberi pampasan kepada keluarga Teoh Beng Hock," demikianlah syarat yang digariskan oleh Gobind Singh kepada Abu Kassim untuk membuktikan keikhlasannya. Malah, Gobind Singh juga mendesak Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz untuk meminta maaf. Sebelum ini, Nazri Aziz menuduh Teoh Beng Hock membunuh diri, dan pakar patalogi Pornthip Rojanasunan dari Thailand sebagai "penipu".

Punca kematian MJ dikenalpasti dalam setahun

Kesabaran khalayak teruji apabila inkues yang dijalankan belum menemui punca kematian Teoh Beng Hock, selepas setahun mendiang meninggal dunia. Lim Guan Eng mengambil contoh bagaimana bintang popular Micheal Jackson yang mati pada 25 Jun 2009, telah ditemui puncanya, bahkan pesalah telah dipenjarakan dalam masa setahun selepas kematian Micheal Jackson.

Beliau menyindir agar penyiasat yang meneliti punca kematian Micheal Jackson diupah untuk mengenalpasti punca kematian Teoh Beng Hock, kerana jelas mereka lebih cepat dalam melengkapkan kerja siasatan.

Di samping itu, speaker DUN Selangor Teng Chang Khim yang berucap selepas Setiausaha Agung partinya, meminta agar orang ramai menyahut seruan Lim Guan Eng untuk "meninggalkan kesedihan, kepedihan dan kepahitan dalam hati kita, dan menjelmakannya menjadi inspirasi untuk menjana reformasi bagi membawa pembaharuan kepada pentadbiran negara ini."

Kami tidak akan kompromi, keluarga Teoh

Adik perempuan mendiang Teoh Beng Hock juga tampil memberi ucapan, menyeru agar rakyat Malaysia memberi sokongan kepada keluarganya untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan untuk Beng Hock.

Dalam satu klip video yang disediakan, Teoh Lee Lan menulis, "Tidak kira betapa lama kami menunggu, kami sebagai keluarga (Teoh Beng Hock) tidak akan kompromi, sehinggalah kebenaran ditemui. Kami berharap kawan yang ada di sini, seluruh warga Malaysia untuk bersama kami, sehingga kebenaran menjelma. Beng Hock memerlukan kesaksamaan, Malaysia memerlukan keadilan."

Teoh Lee Lan melanjutkan tuntutan keluarganya, agar Suruhanjaya Di-Raja ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, dalam satu majlis memperingati Beng Hock di kuburnya, hari ini.

Malah, ahli parlimen Serdang-DAP, Teo Nie Ching menyatakan tuntutan ini dalam teks ucapannya pagi ini, "Beng Hock, tiada perkataan yang dapat menterjemahkan kemarahan kami! Kami tidak akan membiarkan kematian kamu menjadi sia-sia! Kami masih lagi berkeras dan mendesak agar kerajaan pusat menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat punca kematian kamu."

Teo Nie Ching meneruskan, "Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar keluhan dan kesedihan kita? Dengan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, diharapkan ianya dapat menamatkan episod keganasan yang sering muncul mutakhir ini."

"Saudara Beng Hock, semangat kamu akan sentiasa tersemat di hati kami selama-lamenya sebagai seorang pejuang! Dalam pada masa yang sama, kepada semua, kita harus melawan dan pertahankan demokrasi demi keadilan! Kita juga harus menjadikan kesedihan ini sebagai satu azimat untuk kita melakukan Perubahan demi Malaysia yang lebih adil!"

Soh Cher Wei balu Teoh Beng Hock juga muncul di upacara peringatan Teoh Beng Hock di Semenyih, hari ini, bersama cahaya matanya dengan Teoh Beng Hock. Ketika ditemuramah wartawan, Soh mendakwa keadaan dirinya agak baik sepanjang tahun ini. -MR


Rakan Perjuangan Beng Hock Ikrar Tegakkan Keadilan, Bongkar Kebenaran

NILAI 17 Julai - Keluarga dan sahabat terdekat mendiang Teoh Beng Hock hari ini menziarahi kuburnya di Nirvana Memorial Park, Semenyih sempena memperingati setahun kematiannyaa pagi tadi.

Suasana pilu dan tangisan menyelubungi seluruh ahli keluarga dan sahabat handai mendiang Beng Hock, pembantu politik Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah yang ditemui mati semasa disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ibu mertua Beng Hock dilihat meratapi pemergian Beng Hock yang sepatutnya menjadi menantunya pada hari yang beliau ditemui mati.

Lebih kurang 150 orang hadir dalam majlis yang berlangsung selama dua jam setengah, kebanyakannya telah berada di situ sejak pukul 8 pagi tadi.

Anak mendiang, Teoh Er Jia yang berusia empat setengah bulan juga hadir buat kali pertama di khalayak ramai.

"Saya harap dia membesar macam orang biasa, jauh dari mata semua orang. Normal itu bagus," kata isteri Beng Hock, SohCher Wei yang tidak membenarkan gambar anaknya diambil daripada depan.

Rakan seperjuangan Beng Hock mengambil peluang memberikan ucapan bagaimana mereka memperingatinya, tetapi kebanyakkan berkata akan memperjuangkan keadilan ke atas kematian tragik shabat mereka itu.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata semasa menziarahi kubur Beng Hock beliau akan mendesak supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat perkata itu.

Pada masa yang sama beliau turut membidas inkues yang sedang berjalan gagal untuk mendedahkan perkara sebenar.

Pembantu kepada Exco Selangor berusia 30 tahun itu ditemui mati di Tingkat 5, Plaza Masalam, di mana ibu pejabat negeri SPRM terletak ketika itu.

Sebelum itu banyak teori timbul dalam soal bagaimana mendiang mati dan inkues yang sedang didengar dikatakan bercanggah dengan bukti yang dikemukakan ahli patologi yang dilantik SPRM yang mengatakan kemungkinan beliau membunuh diri.

Ahli patologi yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand pula berkata 80 peratus kemungkinan Beng Hock telah dibunuh.-SK


Ulasan GB

Sekalipun sudah ada inkues, mengapa kematian Teoh masih gagal ditentukan sebabnya?

Kerana tidak ada kejujuran untuk mendedahkan kebenaran. Yang ada adalah untuk melindungi pembunuhnya.

"Teoh terjun", "Teoh jatuh" - teori yang disebutkan oleh pegawai SPRM sejak awal sebelum penubuhan inkues lagi, itu saja tumpuan yang diberikan di dalam inkues.

Rakyat tidak bodoh apatah lagi Allah yang tidak buta dan dungu. Kebenaran akan tetap zahir walau cuba diselindungi oleh manusia-manusia durjana.

3 ulasan:

Matketor berkata...

Kes Teoh Beng Hock merupakan rentetan musibah yang menimpa UBN-Najib-Rosmah..Persengketaan politik dengan dendam dan taktik kotor dimur
kai ALLAH..Terimalah balasan dari tuhan atas segala pengkhianatan terhadap undi rakyat keatas kamu UBN-Najib-Rosmah..satu persatu kebusukan terserlah..rakyat semakin sedar..

Awanama berkata...

bukan setakat pembunuh tapi kerajaan BN macam nak sembunyi sesuatu?

Awanama berkata...

kita akan mengaku bilamana apa yg kita hendak itu ditunaian seperti ketidakpuasan hati tentang kematian TBH, seandainya dia dibunuh memang wajar disiasat sehingga keakhirnyam tapi seandainya juga dia membunuh diri adakah mampu pihak yg ingin membela menerima kenyataan ini, jawapan tetap tidak kerana TBH adalah seorang dari ahli politik, memang mengjurus kepada perbalahan parti, tapi adakah kita sedar ada unsur2 lain yg boleh diambil kira seperti tekanan kerana terlibat dgn projek2 sulit didalangi oleh DAP, adakah ada ugutan dari org2 yg terlibat dgn projek tersebut? bnyk2 unsur2 yg blh dikaitkan dgn kematian TBH, tetapi setelah suruhanjaya di Raja menyiasat dan dikeluarkan keputusan atas cadangan pihak pembangkang masih tidak mahu menerima keptusan tersebut. Kenapa kes2 yg lain seperti kes video yg mirip anuar ibrahim tidak dicadangkan penubuhan suruhanjaya diraja malah ditolak , kenapa? maknanya ada unsur kepentingan parti dalam kes2 mcm ni bukan keikhlasan.