10 Jun 2010

Keris UMNO Digunakan Untuk Menikam Bangsa Sendiri Yang Tak Sehaluan Dengan Mereka

Mursyidul Am PAS menyatakan keris yang dijulang oleh pemimpin Umno bukanlah untuk memperjuangkan Melayu tetapi digunakan untuk menghancurkan perpaduan kaum disamping menikam bangsa sendiri yang tidak mengikut mereka.

"Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin Umno itubukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka," katanya.

Nik Aziz menyifatkan kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat bersama rakan sekutunya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bertujuan untuk menyebarkan dakwah di kalangan orang bukan Islam.

Beliau berkata, ia berikutan golongan ulama terdahulu hanya menyebarkan dakwah Islam di kalangan masyarakat Melayu semata-mata.

"Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan bukan Muslim hingga menyebabkan sebaran dakwah hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja. Melayu ajar melayu sahaja.

"Maka saya melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah kepada kita semua pejuang PAS," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian serentak Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini.

Selain itu Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pakatan politik yang dijalinkan bersama PKR dan DAP perlu disertakan dengan tugas dakwah untuk menegakkan Islam seperti yang diperjuangkan PAS.

"Secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah.... sekarang rakan kita adalah mad'u kita.

"Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat," katanya.

Tambah beliau lagi, PAS perlu berani menawarkan alternatif terutamanya kepada masyarakat bukan Islam sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita.

"Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur keroasakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini.

"Memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam," katanya.

Nik Abdul Aziz juga mengingatkan agar PAS memberi fokus kepada pengundi Melayu dalam usaha untuk meraih sokongan mereka pada pilihan raya akan datang.

"Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional (BN) ialah pengundi Melayu.

"PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas di dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

Menurut beliau lagi, PAS perlu mendapatkan sokongan padu sama ada di kalangan pengundi Melayu Islam mahupun bukan Islam bagi memastikan parti itu bergerak sebagai peneraju politik negara.

"Bertolak daripada gagasan menghadapi pilihan raya umum ke-13, ke arah menjadikan PAS sebagai peneraju politik negara, maka PAS hendaklah menguasai politik Melayu Muslim dan sekaligus mendapat kepercayaan pengundi bukan Melayu ataupun bukan Muslim," katanya.

Tiada ulasan: