8 Dis 2010

Selepas Isu Air, Memo Pewartaan Kg Warisan Pula Diadukan Kepada Agong

Memo Perwartaan Kg Warisan pula untuk Agong

PETALING JAYA: Selepas penyerahan memorandum Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Kembalikan Hak Air Selangor kepada Yang DiPertuan Agong Ahad lalu, satu lagi memo, Memorandum Perwartaan Kampung Warisan pula dijangka diserahkan.

Memorandum yang juga akan diserahkan kepada Parlimen Malaysia ini antara lain menuntut agar tujuh buah kampung di pinggir ibu kota Kuala Lumpur tidak dilenyapkan dalam Deraf KL 2020 dan diisytiharkan sebagai kampung warisan mengikut ciri-ciri kampung tradisional yang dirangka oleh anak-anak kampung itu sendri.

Tujuh buah kampung yang terbabit dalam Deraf KL 2020 ialah, Kampung Bandar Dalam, Padang Balang, Puah, Puah Seberang,

Chubadak, Sg Merali dan Sg Mulia, demikian menurut budayawan pelukis dan penulis, Profesor Dr Siti Zainon Ismail.

Kata beliau, walaupun secara dasarnya pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bersetuju untuk memberi pengiktirafan kepada kampung-kampung tersebut sebagai kampung tradisional namun masih terdapat beberapa terma yang harus dikaji semula.

"Penduduk kampung berterima kasih kepada DBKL kerana mendengar keluhan penduduk kampung ini dan DBKL telah pun bersetuju untuk mengiktiraf kampung-kampung ini sebagai kampung tradisional.

Ciri-ciri kampung

"Bagaimanapun penduduk-penduduk tujuh kampung ini berpendapat mereka harus diberikan hak untuk menentukan acuan atau ciri-ciri kampung mereka sendiri. Jadi beberapa cadangan DBKL harus dikaji semula.

"Antara cadangan itu ialah untuk menjadikan jalan raya di kampung terbabit jalan dua hala dan ini menyebabkan beberapa rumah penduduk dan kemudahan seni lain seperti gelangang silat terpaksa di robohkan," ujar beliau kepada FMT hari ini.

Walaupun beliau menjangkakan penyerahan memorandum tersebut akan dibuat tidak berapa lama lagi tetapi tarikh sebenar masih belum diputuskan oleh jawatankuasa bertindak tujuh kampung terbabit.

Sementara itu, Majlis Himpunan Penyair, Seniman, Budayawan 1 Muharam akan diadakan semalam di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam, Batu 14 Gombak bagi menzahirkan perjuangan penduduk tujuh kampung ini.

Majlis ini bertujuan memberi sokongan terhadap Memorandum Perwartaan Kampung Warisan ini turut didukung oleh ahli akademik, budayawan, sasterawan, pakar undang-undang dan perlembangaan, badan & pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam.

Antara personaliti hadir dalam majlis ialah A. Samad Said, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Pensyarah UIA-Dr. Anuar, Abdul Aziz Abd Rahman (Coalition Save KL), Prof. Dr. Siti Zainon, Cikgu Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS), Dinsman, Haji Mohd Said (Presiden Anak Melayu Selangor), Pyanhabib, Hishammudin Rais (Tukar Tiub), Tuan Hasni Abas (S/usaha Gerakan Mansuh PPSMI) dan beberapa nama lain lagi.

Selain itu majlis ini turut membabitkan penyertaan daripada JAKIM, JAWI, YADIM, Jabatan Warisan – Mahasiswa UIA dan UM, Tahfiz Darul Furqan, badan-badan NGO lain dan parti-parti politik tanpa mengira ideologi masing-masing. -FMT

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lenyapkan pemerintahan BN sebelum kg Baru dilenyapkan