22 Dis 2010

"Saya Nak Kahwinkan Anak Saya Dengan Anak Dia, Bukan Dengan Dia"

Raisuddin Hamzah Didakwa Kahwini Bakal Menantu

SHAH ALAM: Bapa mertua kepada Raisuddin Hamzah memberitahu dia mempunyai hasrat mahu menjodohkan anak perempuannya dengan anak lelaki pelakon dan penyanyi popular tahun 80-an tersebut.

Suberi Abdullah, 50, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa, bahawa dia mempunyai dua calon menantu buat anaknya, Siti Fatimah yang telah bernikah dengan Raisuddin di sempadan Thailand.

"Calon pertama adalah anak kepada Raisuddin yang bernama Hamzah manakala calon kedua adalah anak seorang doktor yang dipanggil sebagai Along," katanya semasa disoal oleh peguam syarie Mohd Roshdan Sujak.

Selain itu, Suberi yang mengusahakan kedai makan juga memberitahu, dia tidak bersetuju dengan perkahwinan anaknya kerana faktor jarak usia yang berbeza 31 tahun. "Dia (Raisuddin) tidak sepadan. Semasa akad nikah, umur anak saya baru 19 tahun, masih anak dara dan sedang menuntut di Universiti Selangor (Unisel) di Batang Berjuntai, dekat sini.

"Dia pula berusia 50 tahun dan sudah mempunyai isteri," katanya dan menambah berasa malu dengan perkahwinan tersebut.

Mohd Roshdan mewakili Suberi, 50, pada permohonannya untuk membubarkan perkahwinan antara Siti Fatimah dan Raisuddin mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Mahkamah sama turut mendengar permohonan Raisuddin, 54, yang merupakan bapa kepada penyanyi, Siti Sarah untuk mengesahkan pernikahan yang dilakukan di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 dengan berwalikan hakim.

Suberi seterusnya memberitahu, Siti Fatimah, 24, sepatutnya berada di rumah pada malam pernikahan tersebut.

"Dia tinggal di asrama. Saya tidak tahu bila dia ke Songkhla. Sebelum 2 Januari 2007, kali terakhir saya berjumpa dia adalah pada Hari Raya Haji tapi saya tidak ingat tarikhnya," katanya.

Menurut Suberi lagi, Siti Fatimah tidak ada memaklumkan atau meminta izin darinya untuk berkahwin mahupun dihubungi oleh mana-mana wakil dari Songkhla yang meminta izin untuk mewalikan anaknya.

"Saya tidak pernah kehilangan kelayakan untuk menjadi wali," tambahnya.

Dia juga memberitahu, dia tidak berada di penjara semasa pernikahan itu berlaku dan boleh dihubungi pada bila-bila masa menerusi telefon bimbit dan talian telefon rumah.

Suberi memberi keterangan selepas Mohd Roshdan memohon untuk menyoal semula anak guamnya ekoran banyak keterangan Suberi tiada di dalam nota prosiding semasa kes itu didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini.

Permohonan itu juga tidak dibantah oleh peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif yang mewakili Sti Fatimah yang dinamakan sebagai responden pertama dan diikuti oleh Raisuddin sebagai responden kedua.

Nor Azmi kemudiannya memohon diberikan sedikit masa untuk membolehkan beliau menyemak nota keterangan sebelum mula menyoal balas Suberi.

Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin membenarkan permohonan itu dan menetapkan 23 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan baru.

Pada prosiding itu, Suberi yang mahu melarikan diri daripada pihak media tertinggal kad pengenalannya di mahkamah yang kemudiannya diambil oleh Mohd Roshdan. -mstar


Tiada ulasan: