20 Dis 2010

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Dipenjara 56 tahun, Denda RM620,000

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen dipenjara 56 tahun, denda RM620,000

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah 1 Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar hari ini dijatuhi hukuman penjara 56 tahun dan denda RM620,000 oleh Mahkamah Sesyen setelah didapati bersalah terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China, dua tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Katar bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan Yusof, 56, hanya perlu menjalankan hukuman penjara enam tahun bermula daripada tarikh beliau didapati bersalah pada Khamis lalu.

Hakim Abu Bakar turut membenarkan permohonan peguam Yusof, Mohammed Azmi Mohd Said untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi nanti.

Pada Khamis lepas, Abu Bakar mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir kes pembelaan dan menetapkan tarikh hari ini untuk menjatuhkan hukuman.

Yusof, 56, didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Yusof didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di pejabat beliau bertugas di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta sama.

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara paling rendah di antara dua tahun dan denda RM10,000, serta maksimum enam tahun dan denda RM92,000 bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantah permohonan untuk penangguhan hukuman memandangkan pihak pembelaan telah gagal menunjukkan sebarang keadaan istimewa untuk di dalam membuat permohonan lisan berkenaan.

Peguam Mohammed Azmi bagaimanapun berkata mahkamah mempunyai kuasa dalam membenarkan permohonan itu.

Hakim Abu Bakar membenarkan permohonan itu dan memerintahkan satu notis rayuan dikemukakan seawal esok pagi dan sekiranya gagal, mahkamah akan menarik balik pelaksanaan hukuman tersebut.

Pada Khamis lalu, mahkamah diberitahu bahawa Yusof telah berkhidmat sebagai penjawat awam lebih 30 tahun dan akan menamatkan perkhidmatan dalam dua tahun lagi dan selepas dituduh pada 30 Ogos 2008, anak tertuduh meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen yang lain telah melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Imigresen Wahid Md Don atas tuduhan menerima rasuah melibatkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Wahid, 57, didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan, Low Chang Hian, pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Rayuan kes oleh SPRM masih berjalan di Mahkamah Tinggi di sini. - Bernama

2 ulasan:

waksab berkata...

Ada harapan rayuan akan diluluskan dan pesalah akan dibebaskan...integriti kehakiman telah dipertikaikan rakyat..dari 56 tahun ke 6 tahun sahaja..50 tahun diskaun..bayangkan..serupa cam kes itu bekas mb selangor dapt diskaun belia hartanah lebih 50%...

Frodo berkata...

Pengadu dalam kes ni adalah pegawai SPRM yang ditahan dalam kes rompakan Pengurup Wang Asing di KLIA, Aziz Jaafar