30 Nov 2010

Aduan Kakitangan Awam Biadab Meningkat

Aduan babit penjawat awam biadap makin meningkat - Murugiah

IPOH -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes membabitkan penjawat awam berlaku biadap dan bersikap perkauman terhadap orang ramai.

Beliau berkata masalah salah laku penjawat awam terutama yang bertugas di barisan hadapan tersebut disedari meningkatkan berdasarkan peningkatan aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA).

"BPA menerima lebih 60 aduan dari seluruh negara setiap bulan yang membabitkan penjawat awam bersikap kasar, biadap dan menyentuh isu perkauman sehingga menimbulkan rasa kemarahan pengadu dan rakyat," katanya pada sidang akhbar di pejabat BPA Perak di sini.

Aduan terhadap kes seumpama itu menimbulkan kemarahan kaum dan ia boleh digunakan sebagai isu untuk menyebabkan perbalahan di kalangan pemimpin politik, katanya.

Murugiah berkata BPA sedang memantau semua aduan yang diterima itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya diambil oleh jabatan atau agensi terbabit bagi membendung masalah itu.

Katanya, tindakan yang boleh diambil termasuk memecat, menggantung atau mengenakan tindakan disiplin kepada individu yang terbabit.

Menurutnya, satu contoh kes yang diterima BPA ialah aduan pada 10 Nov lepas yang membabitkan seorang jururawat di sebuah hospital di sini yang mengeluarkan kata-kata kesat dan bersifat perkauman terhadap satu keluarga.

Murugiah berkata kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan penjawat awam beruniform dan yang berurusan setiap masa bersama pelanggan seperti anggota polis, kakitangan hospital dan sekolah.

Beliau berkata isu seperti itu menimbulkan masalah apabila berlaku campur
tangan ahli politik.

Beliau menasihati penjawat awam supaya lebih peka berhubung isu berkaitan dan berusaha sebaik mungkin memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka. -- BERNAMA

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Penjawat Awam sombong,bongkak dan biadap,siapa punya angkara? Siapa yang memegang teraju kementerian?Dan diperingkat negeri,siapa yang jadi Ketua Menteri dan Menteri Besar?Kalau yang diatas sudah sombong,bongkak dan biadap,yang dibawah tu ikjut aje.

Tanpa Nama berkata...

kerajaan BN lagi biadap?, bila menang di Galas dan Batu Sapi, terus penaik harga minyak