28 Okt 2010

Siapa Ubah Kedudukan Senarai Calon Naib Presiden Di Kertas Undi Dan Apa Muslihatnya?

Nurul Izzah Anwar yang bertanding jawatan naib presiden PKR mempertikaikan perubahan pada aturan nama calon-calon yang bertanding kerusi tersebut — diumumkan dua hari sebelum proses pengundian pusat bermula.

Ahli Parlimen Lembah Pantai ini berkata senarai baru yang dikeluarkan semalam, dua hari sebelum ahli-ahli parti itu keluar mengundi memilih kepimpinan pusat, secara berperingkat-peringkat, “agak sedikit membimbangkan”.

Sebanyak 69 cabang akan keluar mengundi hujung minggu ini, sebahagian daripada tiga peringkat pengundian yang dijadualkan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa pada 27 Oktober (semalam) bahawa ibu pejabat parti telah mengumumkan senarai baru yang mengandungi perubahan aturan nama calon-calon naib presiden pada kertas undi (yang dikeluarkan).

“Saya cuma ingin menyatakan yang situasi ini agak sedikit membimbangkan, atas dua sebab,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Wakil beliau, Mohamed Siddik Mohamed Ibrahim menyerahkan surat minta penjelasan daripada Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail di ibu pejabat PKR di sini kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Nurul Izzah berkata senarai muktamad calon-calon yang bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah dikeluarkan pada 24 Oktober lalu.

“Pengumuman senarai muktamad terbaru pada 27 Oktober, yang mengandungi perubahan aturan nama calon-calon dalam kertas undi, meletakkan tanda tanya pada senarai muktamad pertama tadi.

Pada senarai dikeluarkan 24 Oktober lalu, nama beliau diletakkan sebagai calon nombor dua atas nama “Anwar, Nurul Izzah” selepas Ansari Abdullah.

Bagaimanapun senarai dikeluarkan semalam menunjukkan namanya berada di tangga kesembilan atas nama “Nurul Izzah Anwar”.


Difahamkan jawatankuasa pemilihan pusat menentukan aturan nama calon mengikut susunan abjad. Berdasarkan maklumat borang penerimaan pencalonan, Nurul Izzah memohon agar nama pada kertas dicetak sebagai “Anwar, Nurul Izzah”.

Ia diterima dan disahkan berdasarkan notis bertarikh 24 Oktober tetapi didapati berubah berdasarkan senarai semalam.

“Persoalannya, adakah senarai pertama itu senarai muktamad? Kalau bukan, siapa yang bertanggungjawab menerbitkannya?

“Senarai ini sudah pasti telah diguna calon-calon dalam kempen mereka, dan kita harus bersikap adil kepada semua calon yang mengambil bahagian dalam pemilihan 2010 ini,”
kata beliau. -TMI

Tiada ulasan: