28 Okt 2010

[Bergambar] Tragedi Gunung Merapi: Berlaku Dalam Sekelip Mata

Berlaku Sekelip Mata

Gambar: SOLO, 28 Okt -- Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar memberi nasihat kepada para pelajar Malaysia dari Pesantren Sirojul Mukhlasin di asrama penginapan mereka di Unas, Solo, setelah dipindahkan ke situ bagi mengelakkan mereka daripada kesan hujan abu volkanik Gunung Merapi yang meletus Selasa petang. -Bernama

KUALA LUMPUR: “Segalanya berlaku sekelip mata...tak ubah seperti filem letusan gunung berapi yang biasa kita tonton,” kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar yang melalui sendiri detik cemas selepas Gunung Merapi tiba-tiba meletus ketika dia dalam perjalanan untuk memindahkan pelajar Malaysia di Secang, Magelang, petang kelmarin.

Katanya, kira-kira 10 minit sebelum letusan, berlaku hujan lebat diikuti letusan pertama mengeluarkan debu panas dan dianggarkan suhu debu lahar gunung berapi itu mencecah antara 400 hingga 600 darjah Celcius.

“Keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan lebat itu disertai lumpur kesan letusan berkenaan menyebabkan penduduk sekitar mengalami kesukaran untuk bernafas selepas lumpur turut mengeluarkan bau sulfur yang kuat dan busuk,” katanya. Beliau yang keluar dari kenderaan untuk merasai sendiri pengalaman berada dalam suasana itu pada awalnya turut mengalami sesak nafas selepas ruang udara di lokasi berhampiran Gunung Merapi itu dipenuhi debu menyebabkan dia kembali ke dalam kenderaannya.

Harian Metro difahamkan jarak penglihatan juga menjadi terhad iaitu antara 10 hingga 15 meter.

Malah beliau yang berada berhampiran dengan lokasi yang dikenali ‘zero point’ atau kawasan Gunung Merapi berkenaan turut memaklumkan kesan dari hujan lumpur akibat letusan berpanjangan dilaporkan mencakupi sehingga 300 hingga 400 kilometer membabitkan beberapa lokasi di Jawa Barat. Junaidy berkata, semua 37 pelajar yang menuntut di sebuah pesantren itu berjaya dipindahkan bermula jam 12 tengah malam sebelum berakhir jam 3 pagi.

“Semua pelajar terbabit kini ditempatkan di sebuah motel di Solo yang jaraknya kira-kira 65 kilometer dari zero point yang dijadikan pusat transit sementara. “Urusan pemindahan lebih lancar apabila sepasukan 26 pelajar sukarelawan Malaysia yang mengambil kursus kedoktoran di sini turut membantu,” katanya. -hm


Pelajar Malaysia bantu mangsa letusan Merapi

SOLO (JAWA TENGAH): Pelajar kedoktoran Malaysia dari dua universiti di Indonesia hari ini bergabung dan menggerakkan pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa letusan Gunung Merapi.

Ribuan penduduk di sekitar kaki gunung berapi berusia 400,000 tahun itu masih ditempatkan di beberapa pusat pemindahan bagi menyelamatkan mereka daripada aliran lava serta kesan debu volkanik akibat letusan itu.

Kumpulan pelajar pelbagai kaum dari Malaysia itu terdiri daripada 26 pelajar Universiti Negeri Surakarta (UNS) 11 Maret di sini dan 14 pelajar Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta.

Pagi ini pasukan sukarelawan Malaysia itu yang bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia mengunjungi beberapa pusat pemindahan mangsa di daerah Sleman, Yogyakarta.

Pelajar itu yang membawa bersama makanan dan ubat-ubatan, turut menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada mangsa yang kebanyakannya terhidu debu volkanik apabila Gunung Merapi menyemburkan awan panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah selsius pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, berkata pasukan sukarelawan pelajar Malaysia sebenarnya sudah digerakkan pada Selasa lagi namun ia banyak ditumpukan kepada usaha memindahkan sekumpulan pelajar Malaysia dari Magelang.

Pelajar kedoktoran Malaysia dari UNS 11 Maret yang diketuai Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Solo, Mohd Nazaluddin Mat Nazir, telah banyak membantu menguruskan pemindahan pelajar Malaysia dari Pesantren Sirojul Mukhlasin di Secang, Magelang ke Solo.

Kunjungan BERNAMA ke asrama Universiti Surakarta (UNAS) di sini mendapati para pelajar Malaysia dari pesantren berkenaan ditempatkan di bilik yang selesa, di bawah seliaan dan pengawasan sukarelawan pelajar Malaysia UNS 11 Maret.

Mereka turut memeriksa kesihatan pelajar terbabit selain bergotong royong memasak untuk mereka.

Seorang sukarelawan, Dr Muda Nabilah Rashid Redza, 25, dari Air Molek, Melaka, pada ketika itu kelihatan memeriksa kesihatan anak seorang pelajar pesantren itu, Nurul Najjah Zinnirah Humairah Mohd Azmi, 7 bulan, yang demam dan mengalami tanda-tanda alahan mata berair akibat terkena debu volkanik.

Pada hari kejadian letusan Merapi, bayi perempuan itu berada di sebuah rumah sewa bersama ibunya Nurul Asma Abu Bakar, 23, tidak jauh dari pesantren itu, yang terletak 15 kilometer dari Gunung Merapi.

Bapa Nurul Najjah, Mohd Azmi Wok, 24, pelajar pesantren itu, menceritakan bahawa beliau mengalami sesak nafas dan pedih mata terkena guguran abu Gunung Merapi itu semasa ia meletus pada petang Selasa.

Pada ketika itu beliau berada di pesantren dan selepas mengalami keadaan itu segera pulang ke rumah dengan motosikal untuk menyelamatkan anak dan isterinya.

Malam itu, Junaidy bersama pegawai Jabatan Penuntut Malaysia dan sukarelawan pelajar Malaysia dari UNS 11 Maret telah membantu usaha memindahkan sekumpulan 44 orang pelajar Malaysia dan anggota keluarga mereka serta dua pelajar dari Singapura dari pesantren itu ke Solo.

Bencana letusan Merapi itu sehingga kini mengorbankan 30 orang termasuk Jurukunci Merapi, Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita.

Mangsa akan dikebumikan secara beramai-ramai hari ini di dua tempat berasingan. Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman, manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman. - BERNAMA








1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

adakah pemimpin2 atau penduduk malaysia juga akan membuka mata apabila malaysia ditimpa bencana???

tidak cukupkah bencana-bencana di negara jiran menjadi pengajaran dan iktibar....