14 Okt 2010

Ribut Melanda Baling. 60 Rumah Rosak.

Baling 13 Okt. - Beberapa pemilik kenderaan yang melalui Jalan Lanai Parit Panjang dekat Kampung Lanai nyaris menjadi mangsa sebatang pokok besar yang tumbang merentangi jalan raya dalam kejadian ribut yang menyebabkan kira-kira 60 buah rumah rosak di beberapa kawasan di sini hari ini.

Gambar: Kelihatan beberapa orang kanak-kanak melihat kesan kerosakan pada rumah yang timpa pokok kelapa yang tumbang itu. Sementara itu, kira-kira 50 buah rumah di mukim Bongor Baling dan mukim Pulai mengalami kerosakan terutama di bahagian bumbung akibat tiupan angin kencang. foto : Bernama

Bagaimanapun kejadian pada kira-kira pukul 1.15 tengahari itu tidak melibatkan murid-murid sekolah yang sebelum ini sering melalui jalan tersebut apabila pulang dari sekolah.

Murid-murid sekolah terbabit bernasib baik kerana sewaktu hujan lebat mereka tidak melalui jalan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Kampung Lamai, Ghazali Murad, pokok tersebut tumbang semasa sesi persekolahan kanak-kanak sekolah tamat.

"Jika tidak hujan, pasti kanak-kanak sekolah ini akan menjadi mangsa kerana mereka akan melalui jalan berkenaan," katanya.

Kejadian ribut yang berlaku tengahari ini turut merosakkan sebuah bangsal yang menempatkan sebuah kereta dan stor baja seorang penduduk di Kampung Sungai Tas Lanai.

Pemilik bangsal berkenaan, Ishak Ismail,58, berkata, angin yang berputar menerbangkan bumbung bangsal tersebut sebelum jatuh menghempap kenderaan miliknya.

Ishak berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah tetapi disaksikan isterinya, Halimah Abdullah, 52.

Menurut Halimah, angin kuat disusuli hujan lebat telah menyebabkan bumbung bangsal tersebut terangkat beberapa kali sebelum menghempap kenderaan milik suaminya.

Dalam kejadian ribut di kawasan lain, beberapa rumah di Kampung Asam Jawa, Pulai Kaki Bukit Rambong dan Kampung Bandar rosak termasuk rumah milik seorang warga emas.

Akibat kejadian itu bumbung rumah mangsa turut diterbangkan angin.

Namun, sehingga kini tiada laporan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. -UM

Tiada ulasan: