15 Okt 2010

Perlukah Shamsul Pertahan Jawatan Ketua AMK?

Shamsul ‘di upah’ pertahan ketua AMK?

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan jawatan beliau walaupun sebelum ini menghebahkan akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden.

"Saya rela dan bersedia mengadapi persepsi buruk media dan penganalisa politik kesan dari tindakan saya ini," jelas beliau ketika dihubungi hari ini.

Tindakan Shamsul agak mengejutkan kerana keputusan dibuat selepas dua hari Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mengumumkan bertanding.

Sebelum ini pertembungan untuk Ketua AMK dijangka tiga penjuru yang melibatkan Rafizi Ramli, Hasmi Hashim dan Badrul Hisham.

"Saya bukan di upah untuk melawan Che Gu Bad atau di suruh oleh sesiapa dan jauh sekali saya di beli oleh seseorang untuk bertanding Ketua AMK.

"Persepsi semata-mata"

"Saya tahu ramai yang menuduh demikian tetapi itu merupakan persepsi semata-mata," jelas beliau yang memberikan kenyataan eksklusif kepada FMT.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Melaka berkata strategi beliau adalah untuk memenangi pertandingan dan bukan sekadar merebut jawatan tinggi tetapi kalah dalam pertandingan.

Selepas tamat sesi pertama pencalonan yang berakhir 3 Oktober lalu, Shamsul memperoleh 65 pencalonan untuk jawatan Naib Presiden dan 38 pencalonan Ketua AMK.

Ditanya mengenai tindakan tidak bertanding merebut jawatan Naib Presiden walaupun mendapat pencalonan kedua terbanyak Shamsul berkata beliau telah berbincang secara teliti berhubung kedudukan tersebut.

Katanya, pencalonan untuk Naib Presiden terlalu ramai sehingga mencecah 30 calon atau lebih. Ini akan memberi ruang yang amat sedikit kepada beliau untuk menang.

"Saya dapat maklumat Tian Chua akan bertanding menggantikan Dr Lee Boon Chye dan undi kaum Cina akan memihak kepada Tian.

Manikavasagam juga akan turut serta dan undi kaum India juga akan memihak kepada beliau.

‘Manakala undi wanita sudah tentu akan memihak kepada Fuziah Salleh yang memperoleh pencalonan terbanyak untuk jawatan ini." jelas beliau.

Selain itu menurut Shamsul, pencalonan dari cabang Selangor yang merupakan saluran pengundi Melayu paling ramai juga tidak memihak kepada beliau iaitu sebanyak empat pencalonan sahaja.

Anwar tiada halangan

Ditanya mengenai apakah beliau telah memaklumkan kepada Ketua Umum, Anwar Ibrahim untuk bertanding mempertahankan jawatan, beliau berkata Anwar tidak memberi sebarang halangan.

Shamsul dijangka akan mengadakan sidang media petang ini bagi mengumumkan keputusan beliau mempertahankan jawatan.

Sementara itu untuk jawatan Naib Presiden setiap ahli layak untuk mengundi memilih empat calon manakala untuk jawatan Ketua AMK hanya satu pilihan.

Dalam kenyataan eksklusif dengan FMT, Shamsul enggan mengulas gadingan Timbalan beliau serta akan mengumumkannya dalam sidang media nanti.

Pada 13 Oktober lalu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Badrul Hisham Shaharin mengumumkan akan bertanding Ketua AMK dan menamakan Adun Teja, Chang Lih Kang sebagai gandingan Timbalan beliau.

Ulasan GB

Untuk mendapatkan pencalonan kedua tertinggi bagi jawatan Naib Presiden bukan satu hal yang remeh untuk diketepikan. Ia juga menggambarkan harapan tinggi dari akar umbi.

Melarikan diri dari bertanding untuk jawatan Naib Presiden untuk mempertahankan Ketua AMK, untuk orang yang bernama Shamsul Iskandar, pada pandangan GB, bukanlah satu tindakan yang bijak.

Ini kerana Ketua AMK sudah ada calon yang solid - ch'guBard - yang GB percaya beliau akan memenangi jawatan itu.

Justeru itu Shamsul perlu meyakinkan diri untuk ke pentas Naib Presiden. Beliau mempunyai potensi untuk menang.

Sekalipun akan berdepan dengan Tian Chua dan Manickavasagam (yang disifatkan oleh Shamsul akan masing-masing memperolehi undi kaum Cina dan India), namun ia juga hanya persepsi. Ia juga agakan semata-mata. Ia tak semestinya jadi begitu. Sama halnya dengan Fuziah Salleh. Tak semestinya tiada wanita yang berkenan dengan Shamsul.

Kalah bertanding pada peringkat Naib Presiden tidak tercemar berbanding tercemarnya jika kalah mempertahankan Ketua AMK.

Shamsul perlu menjadi wira sejati PKR. Perlu menang salah satu kerusi Naib Presiden. Ey Shamsul, itu Ketua Polis Negeri Selangor, Khalid Abu Bakar yang selalu mengacau Shamsul dah naik pangkat jadi pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Takkan Shamsul mahu duduk lagi kerusi AMK? Lebih-lebih lagi kalau kalah, terbahak besar nanti dia.

Walau apapun keputusan bertanding apa-apa jawatan sekalipun terletak di tangan Shamsul sendiri.

1 ulasan:

Budak Jelebu berkata...

Setuju dgn GB Syamsul tak seharusnya berundur seperti seorang pengecut.Kalah dengan bermaruah lebih mulia menang tapi terbuang.Kata syamsul dia ingin menang dalam pertandingan tapi itu hanya persepsinya sahaja jika dia boleh menang sebagai ketua AMK.Akar umbi kini telah bulat dan tekad memimilih cikgu bard kerana itu cikgu bard mendapat pencalonan yang lebih tinggi berbanding syamsul sendiri.Kalau kalah dlm pertarungan naib president kalah itu kalah bermaruah..tapi jika tewas ketua AMK syamsul tewas sebagai hampas.