25 Okt 2010

Ku Nan Kata Makkal Sakti Boleh Mohon Sertai BN, PPP Kata Nanti Dulu

Makkal Sakti boleh mohon sertai BN, kata Tengku Adnan

Gambar fail

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata Parti Makkal Sakti Malaysia boleh mengemukakan surat permohonan rasmi untuk menyertai BN.

Bagaimanapun katanya, terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN untuk menimbangkan kemasukan parti itu sebagai sebagai parti komponen BN.

Perkara itu mungkin hanya dipertimbangkan selepas BN membuat pindaan Perlembagaannya nanti, kata beliau semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kedua Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Kira-kira 1,500 perwakilan parti itu menghadiri mesyuarat tersebut.

Pada Julai lepas, BN mengumumkan cadangan untuk meminda perlembagaannya bagi membolehkan golongan muda, badan bukan kerajaan dan parti politik menyertainya.

Semasa sidang media kemudian, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata usul-usul yang dipersetujui oleh perwakilan Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam, akan dibincangkan parti itu selepas pilihan raya kecil Dewan

Undangan Negeri Galas (Kelantan) dan Parlimen Batu Sapi (Sabah) yang dijadual 4 November ini. — Bernama


PPP Harap BN Waspada Dalam Terima Ahli Baru

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) mahu Barisan Nasional (BN) supaya berhati-hati dalam menerima mana-mana badan bukan politik yang hendak bergabung atau bersekutu dengan BN apabila perlembagaannya dipinda.

Presidennya Datuk M. Kayveas berkata sikap memilih itu penting bagi memastikan tiada pertubuhan atau kumpulan berasaskan perkauman atau bermasalah diterima masuk dalam gagasan BN.

"Saya menentang sama sekali politik berasaskan perkauman," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Kayveas berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pindaan perlembagaan BN bagi menerima individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang mendukung perjuangan BN dan mahu bersama-sama BN seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal tahun ini.

Terdahulu itu, Kavyeas merasmikan forum mengenai nasib pelarian Tamil dari Sri Lanka di Malaysia yang dianjurkan oleh sebuah NGO.

Kayveas berkata beliau bersimpati dengan nasib 3,970 pelarian Tamil dari Sri Lanka di Malaysia yang masih tidak menentu walaupun mereka sudah berada di negara ini selama enam bulan.

Katanya beliau akan meminta kerajaan supaya pelarian itu dibenarkan bekerja di negara ini sementara menunggu penghantaran mereka ke negara ketiga oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). - BERNAMA


Tiada ulasan: