21 Okt 2010

[Bergambar] Galas - Semboyan Telah Dibunyikan, Gendang Sudah Dipalu

PAS dahului Umno gerak kerja di Galas

GUA MUSANG, 20 Okt: PAS terus mendahului Umno dalam melaksanakan gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas apabila melancarkan jentera pilihan rayanya malam tadi.
Sedangkan Umno masih lagi tenggelam dalam kemelut dalaman apabila difahamkan wujud dua nahkoda di Galas.

Pertembungan team Tengku Razaleigh Hamzah dengan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian mulai kelihatan sekarang.

Selain itu kehadiran ribuan penduduk tempatan pula memberi satu isyarat Dun Galas seakan-akan sukar digugat Umno biar pun mempertaruhkan veteran parti itu, Tengku Razaleigh sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di Galas.

Di antara ribuan yang hadir dengan bersesak-sesak di hadapan Markas Besar PAS Dun Galas kelihatan ramai masyarakat bukan Islam termasuk orang Cina dan India.

Situasi itu kelihatan berlainan berbanding dengan pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas kerana tiada ragam kaum yang hadir pada pelancaran jentera pilihan raya PAS.

Pelancaran jentera pilihan raya PAS dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, kepimpinan PAS negeri dan wakil-wakil rakyat.

Permulaan yang baik itu disifatkan kalangan petugas media memberi kelebihan kepada PAS berbanding dengan Umno yang hanya mengharapkan bantuan sepenuhnya jentera kerajaan persekutuan.

Datuk Nasuruddin Daud menyifatkan kehadiran begitu ramai malam tadi membayangkan kehendak rakyat Galas bagi mengekalkan momentum Mac 2008.

Katanya dari awal lagi sudah kelihatan semangat pengundi di Galas bagi meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Husam pula menyifatkan tiada rungutan ditimbulkan penduduk bukan Islam di Galas terhadap kerajaan negeri di mana ia menggambarkan penerimaan mereka terhadap kerajaan PAS.

“Orang Cina dan Orang Asli nampaknya berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan kerajaan negeri. Masalah pemilikan tanah di kalangan masyarakat Orang Asli diselesaikan.

“Biar pun masyarakat Orang Asli berada di bawah pengurusan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, namun kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah tersebut,”
katanya pada ceramah sempena pelancaran jentera pilihan raya PAS Dun Galas.

Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, kehidupan masyarakat di Dun Galas, Gua Musang mencerminkan keadaan sebenar rakyat Malaysia kerana mempunyai komposisi pelbagai kaum dan budaya.

Katanya, penduduk di Galas terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta rakyat yang mengundi Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum lalu terus kekal mengundi PAS bagi membolehkan perjuangan ditinggalkan wakil rakyat terbabit dapat diteruskan.

“Teruskan apa yang telah kita lakukan pada pilihan raya umum lalu, manakala bagi yang belum mengundi PAS hendaklah sama membantu bagi mengekalkan kemenangan pada pilihan raya lepas,” katanya.

Timbalan Presiden PAS pula membayangkan pilhan raya umum ke-13 diadakan lebih awal memandangkan usaha menggula-gulakan rakyat dilakukan perdana menteri ketika membentang Bajet 2011 pada persidangan parlimen Jumaat lalu. -harakahdaily


Calon PAS: Dr Zulkefli atau Pandak Panjang Ey?

Timbalan yang dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad atau ketua perhubungan Orang Asli DUN Galas, Pandak Panjang Ey.

Salah seorang daripada mereka disebut-sebut akan dipilih sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat akan mengumumkan calon PAS jam 9 malam ini di Dataran Ilmu yang terletak bersebelahan dengan Masjid Faiz di Gua Musang.

PAS akan mengumumkan malam calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Galas dan dua nama yang disebut-sebut ialah:

Dr Zulkefli adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008, manakala Pandak Panjang Ey adalah seorang jurutera.

Menurut sumber-sumber PAS, kedua-dua calon tersebut adalah antara sepuluh calon yang diserahkan oleh PAS Kelantan kepada PAS Pusat untuk pertimbangan.

Kata sumber lagi, mereka juga merupakan calon yang mengisi dua tempat teratas dalam senarai calon itu dan disebut-sebut mewakili PAS dalam pilihan raya kecil 4 November ini.
Malaysiakini difahamkan tiga lagi nama yang turut disenaraikan ialah naib yang dipertua PAS Gua Musang, Husin Embong; setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad; dan ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang, Abdullah Husein.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP Lim Kit Siang juga dijadual hadir dalam majlis pengisytiharan calon malam ini. -mk



PAS tampil calon terbaik untuk masyarakat Galas

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Ahli Parlimen PAS Kelantan yakin, calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas yang akan diumum malam ini adalah terbaik untuk rakyat di Dun itu.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, beliau yakin segala pertimbangan sudah dibuat kepimpinan parti bagi memastikan calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat pada PRK itu bukan sahaja mampu menjadi wakil rakyat, malah juga mampu meneruskan legasi khidmat cemerlang Adun sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Menurutnya, kaedah pemilihan calon yang bermula dengan PAS negeri membuat saringan di peringkat PAS kawasan, kemudian dibawa ke PAS pusat dan seterusnya kepada Majlis Syura PAS, sudah cukup untuk memastikan calon yang bakal diketengahkan adalah calon terbaik dari segala aspek.

"Saya yakin, siapa juga calon yang akan diumum malam ini adalah yang terbaik kerana telah melalui saringan di peringkat akar umbi.

"Tentunya calon tersebut seorang yang dikenali rakyat Galas dan sumbangannya juga diketahui umum masyarakat di situ,"
katanya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Seorang lagi Ahli Parlimen PAS, Datuk Kamarudin Jaffar juga mempunyai pandangan serupa.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tumpat berkata, calon yang akan diumum malam ini tentunya sesuai dengan kondisi masyarakat Galas yang rencam.

"Galas ini kawasannya luas, ada penduduk bandar dan ada luar bandar. Tentunya calon yang dipilih adalah calon yang menguasai keadaan di Galas ini," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Selain itu jelasnya, calon yang akan dipilih PAS juga sudah tentu calon yang memahami kepelbagaian kaum di Galas yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli.

"Saya yakin calon itu nanti akan mempermudah kempen kita bagi mengekalkan Dun Galas," katanya.

Dalam pada itu, PAS akan mengumumkan calon mereka malam ini bertempat di perkarangan Markas Besar PAS di Bandar Lama bersebelahan pejabat pos Gua Musang.

Ketiga-tiga pimpinan utama Pakatan Rakyat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah mengesahkan kehadiran malam ini.

Pengumuman malam ini juga adalah bersempena ceramah perdana sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. - harakahdaily


Foto ehsan Topeng Perak Unmasked














1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PAS kena kerja lebih kuat untuk menuju putrajaya