4 Sep 2010

Tembak Mati: Polis Perlu Hentikan Tindakan Tidak Mahu Bertanggungjawab

Panel Aminulrasyid lakar penambahbaikan IGSO

Panel khas yang ditubuhkan untuk memantau siasatan kematian Aminulrasyid Amzah, mencadangkan penambahbaikan terhadap Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan memasukkan beberapa pendekatan yang diguna pakai di negara-negara maju.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata cadangan IGSO yang dianggap "sebahagian besarnya" itu, akan dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk diteliti, pada akhir bulan ini.

"Cadangan IGSO baru ini setelah kita bandingkan dengan perintah tetap yang digunakan oleh anggota-anggota penguatkuasa di negara-negara maju seperti di Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Daripada konsep-konsep yang mereka gunakan itu, maka kita buat perintah tetap yang sesuai dengan keadaan kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat akhir panel khas berkenaan di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Pada 25 April lalu, Aminulrasyid mati terkena tembakan polis di Seksyen 11 Shah Alam ketika didakwa cuba melarikan diri selepas knderaan dipandunya terserempak dengan kereta peronda polis.

"Apabila menyemak semula IGSO kita, kami juga melihat dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menggunakan satu garis panduan mengenai penggunaan

kekerasan dan senjata api oleh pegawai penguatkuasa undang-undang di seluruh negara," katanya.

Abu Seman, yang juga pengerusi panel, bagaimanapun berkata panel khas itu tidak dapat mendedahkan lebih lanjut berhubung pemantauan mereka terhadap siasatan kes berkenaan kerana ia di peringkat mahkamah sekarang.

Dalam pada itu, beliau berkata panel khas itu mendapati siasatan yang dijalankan oleh polis adalah telus serta adil dan tiada keterangan yang disembunyikan oleh pasukan penyiasat dalam kes berkenaan.

Beliau berkata seorang anggota polis iaitu Koperal Jenain Subi, 48, telah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

"Pihak panel ada membuat beberapa perakuan tetapi sebagaimana kita sedia maklum, laporan ini adalah rahsia, jadi kita tidak boleh umumkan sehingga dikemukakan kepada menteri dalam negeri.

"Menteri akan melihat dan teliti laporan yang dikemukakan oleh panel khas ini," katanya. -mk

Ulasan GB

Penggunaan kekerasan dan senjata api secara melulu oleh anggota polis sewajarnya disemaksemula dan perlu ada garis panduan yang lebih ketat mengenainya sekalipun di atas alasan membenteras jenayah.

Kes adik Aminul-Rasyid, kes Suwandi dan Azman di Terengganu jelas menunjukkan polis telah bertindak secara wewenangan dengan menggunakan senjata api dan rakyat telah melahirkan rasa marah serta tidak puashati terhadap apa yang disifatkan penyalahgunaan kuasa oleh anggota polis terutama kepada orang awam.

Modus operandi "menembak mati supaya mudah tidak lagi dibebankan dengan pembuktian di mahkamah" perlu dihentikan segera kerana ia adalah satu tindakan pengecut yang mana polis dilihat tidak mahu bertanggungjawab di atas tindakan mereka sendiri.

PDRM perlu menghormati hak untuk hidup setiap manusia semasa menjalankan tugas. Dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia, Artikel 3 menyatakan bahawa “Setiap orang berhak untuk hidup” dan Artikel 5 menyatakan bahawa “Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan.”

Artikel 4 dalam Prinsip Asas Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pihak Penguatkuasa 1990 (Basic Principles on the Use of Force and Firearms by Law Enforcement Officials) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa “Pegawai-pegawai pihak penguatkuasa, dalam menjalankan tugas seboleh mungkin menggunakan cara tidak keras sebelum terpaksa menggunakan kekerasan dan senjata api.”

Mengikut statistik rasmi kerajaan, antara tahun 2007 hingga 2009, terdapat sebanyak 183 nyawa dikorbankan akibat ditembak mati oleh polis.

SUARAM sebelum ini telah menggesa pihak polis untuk menggunakan alternatif lain selain daripada senjata api dalam operasi penangkapan suspek penjenayah. Malah, rakyat risau dan bimbang dengan penggunaan senjata api oleh pihak polis khususnya, kerana sehingga hari ini tiada satu mekanisme dan akauntabiliti dalam kes-kes penggunaan senjata api oleh pihak polis.


Tiada ulasan: