16 Sep 2010

Psikiatri: Suspek Utama Waras Semasa Melakukan Jenayah

Personaliti psikopatik boleh sorok peribadi sebenar

Suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berkemungkinan mempunyai personaliti psikopatik, namun pakar psikiatri yakin peguam bergelar Datuk itu waras ketika melakukan jenayah berkenaan.

Ciri-ciri sama juga ditonjolkan suspek kedua yang juga adik kepada suspek pertama dengan kedua-dua suspek mempunyai perilaku manipulatif yang berjaya menyembunyikan personaliti sebenar mereka daripada mata masyarakat selain memperdayakan mangsa.

Personaliti psikopatik tidak sama dengan gila kerana penghidapnya sedar perbuatan yang dilakukan, tetapi ditakrifkan sebagai orang gila tanpa gangguan mental.

Pakar perunding kanan psikiatri dan psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Azhar Zain, yakin kedua-dua suspek utama waras ketika pembunuhan berdasarkan fakta, ia mempunyai motif, dirancang dan perbuatan dilakukan secara berkumpulan.

“Orang tidak waras melakukan perbuatan (jenayah) secara bersendiri kerana gangguan mental seperti mendengar bisikan suara-suara ghaib mendesak mereka melakukan perbuatan itu untuk tujuan tertentu seperti menyelamatkan diri, masyarakat atau negara. Mereka juga tidak dapat membezakan apa yang benar dan yang tidak benar. Jika jenayah dilakukan dengan motif jelas dan terancang, apatah lagi berkumpulan, ia bermakna mereka siuman,” katanya semalam.

Prof Azhar juga berkata ada perbezaan jelas antara individu waras dan penjenayah kerana mereka mampu membezakan antara realiti, manakala minda dan tindakan penjenayah cenderung kepada melanggar peraturan tanpa rasa bersalah.

“Malah, bagi penjenayah, mereka berasakan melanggar undang-undang adalah hak mereka. Seseorang yang mempunyai masalah personaliti selalunya tidak seperti apa yang kelihatan pada luarannya. Mereka berkebolehan memanipulasikan orang lain dengan imej, perilaku yang baik dan naif sehingga mengaburkan sesiapa yang mengenalinya. Jika kita fikir, mana mungkin seorang peguam yang normal akan melakukan perbuatan seperti ini,” katanya.

Prof Azhar berkata suspek kedua berkemungkinan mempunyai ‘dependent personality’ atau personaliti kebergantungan yang mengikut telunjuk suspek pertama yang lebih berkuasa atau dominan.

Katanya, psikologi penjenayah juga bergantung kepada beberapa faktor, antaranya faktor genetik yang diwarisi, cara pembesaran dan contoh individu yang membesarkan mereka selain faktor persekitaran dibesarkan, termasuk pengalaman ketika kecil.

INFO

Psikopatik

Tidak sama dengan gila (skizofrenia atau psikosis) kerana penghidapnya sedar perbuatan yang dilakukan. Ia ditakrifkan sebagai orang gila tanpa gangguan mental.

Berdasarkan kajian pakar perubatan, satu peratus daripada penduduk dunia menghidap psikopatik dan amat sukar dikesan serta disembuhkan.

Dalam kegiatan jenayah, penghidap dikenali sebagai pembunuh, perogol dan perasuah. Lazimnya mempunyai penampilan sempurna, bijak dalam pertuturan, berkarisma, mempunyai daya tarikan luar biasa dan menyenangkan. -BH

3 ulasan:

adf55650 berkata...

Prof. Azhar ni satu sekolah dgn Dr. Pornthip kot. Baru tgk gambar dah boleh buat analisa. Syabas Malaysia

ckLah @xiiinam berkata...

Saya baru menemukan laman ini. Syabas! Persembahan yang amat menarik, dan akan terus saya ikuti.

Tanpa Nama berkata...

macam pemimpin negara juga menindas rakyat dengan saman ekor dan insuran mahal.waras tapi kejam