25 Sep 2010

Malang Tak Berbau, Farisha Mati Tercekik Botol Susu

PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan menemui ajal dipercayai akibat tercekik botol susu yang diberikan pengasuhnya di sini Selasa lalu.

Selepas diberikan susu, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz dibiarkan bersendirian sementara pengasuhnya memasak di dapur.

Bapa bayi berkenaan Mohd Fairuz Mohamad Stap, 31, berkata pada hari itu, isterinya Haney Usmiza Abdul Hamid, 30, seperti biasa menghantar bayi mereka kepada pengasuh pada jam 8 pagi sebelum pergi kerja.

"Farisha baru saja sembuh daripada selesema dan isteri saya sudah memaklumkan perkara itu kepada pengasuh berkenaan. Kemudian kira-kira 10.30 pagi, isteri saya menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan anak kami tidak sedarkan diri.

"Isteri saya bergegas ke rumah pengasuh tetapi dimaklumkan jiran pengasuh itu, bayi saya sudah dibawa ke Hospital Putrajaya. Di unit kecemasan, isteri saya dimaklumkan bayi kami sudah meninggal dunia," katanya.

Mohd Fairuz berkata Farisha adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan dihantar untuk dijaga pengasuh berkenaan sebaik isterinya habis pantang selepas bersalin.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa pengasuh berkenaan mempunyai sijil latihan dan lesen untuk mengasuh kanak-kanak serta dipantau sebulan sekali oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Pusat Asuhan Malaysia.

Selain Farisha, pengasuh berkenaan yang mempunyai pengalaman selama empat tahun dalam penjagaan kanak-kanak, turut menjaga lima kanak-kanak lagi.

Fairuz berkata beliau menganggap kejadian berkenaan sebagai takdir dan belum bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu.

"Pengasuh itu juga sudah memohon maaf. Namun saya berharap kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi dan semua pengasuh perlu menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Mohd Khairun Aseh yang turut mengunjungi keluarga mangsa hari ini berkata, pihak bertanggungjawab perlu bertindak tegas dalam perkara berkenaan dengan memastikan semua pengasuh sama ada pengasuh di rumah atau Taska diberikan latihan sepatutnya untuk mengelakkan lebih banyak kejadian yang sama berlaku.- Bernama

Tiada ulasan: