25 Ogo 2010

Api Perkauman Lebih Menjulang Di Era 1Malaysia

Menolak ekstremis perkauman, Mempertahan hak kebudayaan semua kaum

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG berasa khuatir terhadap kenyataan dan tindakan perkauman secara berleluasa baru-baru ini, lebih memeranjatkan ialah sehingga kini Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berdiam diri dalam isu-isu tersebut, ini mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap slogan inklusif umpamanya "Satu Malaysia" dan "Rakyat Didahulukan" yang diketengahkan Perdana Menteri selepas mengambil alih pemerintahan kerajaan.

Dua orang guru besar sekolah kebangsaan memaki murid-murid "balik China" dan mengejek gelang keagamaan Hindu yang dipakai oleh pelajar India seperti rantai anjing. Pada awalnya, alasan yang diberikan oleh pejabat pendidikan ialah "salah faham", tetapi selepas dikecam oleh parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan, Timbalan Perdana Menteri baru berkata isu ini akan disiasat.

Di samping itu, Majlis Perundingan NGO Melayu (MPP) dan PERKASA mahu kerajaan menahan Presiden MCA Chua Soi Lek (gambar kiri atas) di bawah ISA kerana menyokong cadangan kuota 30% bumiputera dimansuhkan; MPP menyaran kerajaan memansuhkan sekolah ibunda; Utusan Malaysia cuba mengapi-apikan isu pemansuhan kuota bumiputera dan perlembagaan baru, sebuah surau Seremban disimbah cat merah; amat kesalnya pimpinan tertinggi kerajaan tidak mengkritik perkembangan kurang sihat ini.

Kami berharap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri "cakap serupa bikin", menjaga konsep inklusif dan kepelbagaian yang diketengahkan, mempertahan hak-hak kebudayaan semua kaum dan sekolah ibunda, jangan biar kenyataan dan tindakan ekstremis perkauman merosakkan hubungan kaum.

Satu lagi kekhuatiran ialah, sejarah telah menunjuk-ajar kita, bahawa dalam satu negara berbilang kaum yang politiknya belum berlandaskan demokrasi, spekulator politik sering menggunakan alasan "hubungan kaum tegang" untuk menindas musuh politik dan pihak berlainan pendapat, ia menghalang perkembangan sihat demokrasi.

Pihak tertentu telah memberi amaran bahawa fenomena-fenomena ini telah timbul di Malaysia. Kami ingin memperingatkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, jika kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebuah Negara maju, tidak wajarnya patah balik dalam arah perkembangan politik sekarang, mereka harus mencegah perlakuan tersebut.

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG berpendapat, bagi fenomena perkauman berleluasa ketika ini, puncanya ialah ideologi perkauman yang telah diinstitusikan selama ini. Politik perkauman yang melaksanakan pecah dan perintah, Pemuda UMNO menjulang keris dan mengugut akan membakar Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, kenyataan diskriminasi perkauman terang-terang Ahmad Ismail dan Nasir Safar, unsur-unsur perkauman yang diindoktrinasikan oleh Biro Tata Negara - tanpa "teladan negatif" semua ini, sekolah dan media tidak akan dijangkit virus perkauman.

Perdana Menteri Najib Razak mesti berani menghapuskan ideologi perkauman yang diinstitusikan, memimpin Barisan Nasional keluar daripada kongkongan politik perkauman, jika tidak "Satu Malaysia" akan menjadi satu kenyataan hampa.

*Kenyataan media oleh Toh Kin Woon selaku Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG. -MR

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

siapa upah pijak bendera? adakah macam perangai yahudi letup PWTC tuduh umat islam???