3 Mei 2010

UMNO BN Takut Dengan Kebebasan Media

Kerajaan Perlu Berikan Akhbar Kebebasan Yang Cukup

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberikan kebebasan yang cukup kepada akhbar di Malaysia dalam melaksanakan tugasnya, kata Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Namun, kebebasan ini mestilah dipandu oleh Perlembagaan, kata beliau. "Bagi saya, saya sentiasa berpegang bahawa kebebasan itu mestilah dipandu oleh tanggungjawab. Tanggungjawab terhadap negara dan rakyat dalam memelihara keamanan dan keharmonian.

"Kerajaan harus terbuka dalam membenarkan media melahirkan pendapat mereka, bersikap adil dan munasabah kepada akhbar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum berjudul 'Apakah Perlu Mengawalselia Media Cetak di Malaysia?', di sini hari ini.

Majlis itu dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia esok.

Sementara itu, seorang anggota panel di forum itu, Zainon Ahmad, editor politik Sun Media Corp Sdn Bhd, berkata sekatan dikenakan kerajaan menerusi undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) tidak harus dilihat sebagai faktor yang menghalang tugas media cetak. Malahan, kata beliau, pengamal media di Malaysia perlu lebih banyak berusaha untuk menyebarkan maklumat kepada massa. Beliau menambah, akhbar di Malaysia harus terus memperjuangkan kebebasan melahirkan pendapat.

"Sekalipun wujud kekangan, kita dapat menerbitkan akhbar yang bagus dan saya yakin kita boleh menerbitkan akhbar yang lebih bagus jika kita diberikan kebebasan akhbar lebih luas," katanya.

Seorang lagi anggota panel, Zulkilfi Sulong, ketua editor Harakah Daily, khusus menyebut PPPA sebagai halangan utama kepada kebebasan akhbar di negara ini. Beliau berkata kerajan hendaklah memberi kepada sesiapa saja yang hendak menerbitkan akhbar hak dan kebebasan untuk berbuat demikian tanpa prejudis. - BERNAMA


Said Zahari: Kebebasan Media Sudah Mati Di Malaysia

SHAH ALAM 2 MEI: Bekas Pengarang Utusan Melayu yang membantah pengambilalihan Umno terhadap akhbar berkenaan pada era 70-an, Said Zahari menyifatkan kebebasan media di negara ini mati.

Beliau menyifatkan ia petanda jelas kemerosotan amalan demokrasi di Malaysia lantaran kebebasan media adalah antara elemen penting dalam pemerintahan demokrasi berparlimen.

Said Zahari mentakrif kebebasan media sebagai keupayaaan sesebuah media menyampai maklumat atau suara masyarakat tanpa kawalan atau pengaruh pihak tertentu secara langsung mahupun tidak langsung.

Namun, Said Zahari berpendapat kebebasan media sudah tidak ada lagi di Malaysia malah kesal kerana media tempatan kini dikongkong parti politik mahupun kerajaan pemerintah.

Hal ini menyebabkan media tidak lagi mampu menyalur malumat yang tepat dan benar kepada rakyat.

"Kebebasan media tidak ada di Malaysia. Sudah mati. Apabila suratkhabar dipunyai parti politik dan dikuasai orang yang berkaitan dengan pemerintah, maka kebebasan tiada. Mereka tidak boleh tulis sesuka hati, kena ikut arahan majikan," katanya.

Said Zahari menyalahkan pelbagai akta berkaitan media di malaysia yang digubal bagi membatas kebebasan media hingga akhirnya pengarang lebih selesa mematuhi telunjuk pimpinan kerajaaan pemerintah.

"Sekarang banyak akta yang mengongkong percetakan, buku. Yang zaman saya tak ada. Bila ada akta ini, ia mengongkong pengamal media kerana tidak boleh menulis ikut keperluan.

"Tapi ikut dasar kerajaan atau tuan punya suratkhabar itu, yang terdiri daripada ahli politik bermakna tak ada kebebasan yang tulen," katanya. -TVS


Tiada ulasan: