21 Mei 2010

Politik Samy Vellu : Akhirnya Mugilan 'Disembelih'

Timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan semalam dipecat daripada parti itu.

Menurut ketua pemuda MIC, T Mohan, pemecatan Mugilan dibuat oleh presiden parti, Datuk Seri S Samy Vellu setelah berunding dengan timbalannya, Datuk G Palanivel.

Ketua jawatankuasa disiplin parti, Tan Sri KS Nijhar ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu dia dimaklumkan berhubung pemecatan itu.

Bagaimanapun, katanya, pemecatan itu tidak dilakukan oleh jawatankuasa yang diketuainya.

Menurut perlembagaan MIC, keahlian anggota parti itu boleh ditamatkan oleh jawatankuasa disipilin dan juga melalui kuasa presiden setelah berunding dengan timbalannya.

Menurut Mohan, pemecatan Mugilan bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sering kali membuat kenyataan yang membidas pemimpin MIC, khususnya Samy Vellu.

Katanya, keputusan menyingkirkan Mugilan itu dibuat berdasarkan dua faktor.

"V Mugilan mendakwa bahawa Datuk Seri Samy Vellu tidak membuat apa-apa untuk masyarakat India. Kedua, tindakan Mugilan berkempen demi kepentingan dirinya yang bertentangan dengan hasrat parti sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor," kata Mohan ketika dihubungi.

Katanya, jawatan timbalan ketua pemuda akan dikosongkan sehingga pemilihan parti itu yang dijadualkan pada tahun 2012.

Desas-desus Mugilan akan disingkirkan bertiup kencang sejurus sebelum pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu.

MIC pada mulanya mencalonkan Palanivel di kerusi berkenaan tetapi ia ditolak oleh ahli akar umbi Barisan Nasional, khususnya Umno yang mendakwa timbalan presiden kurang berupaya.

Sebaliknya nama, Mugilan dicadangkan tetapi timbalan ketua pemuda MIC itu ditolak oleh partinya dan sebagai kompromi ketua penerangan MIC, P Kamalanathan dicalonkan.

Sejak itu, Mugilan yang kecewa terus membidas presidennya dan mendesak pemimpin yang telah menguasai MIC hampir 31 tahun supaya berundur.

Terbaru, pagi semalam, dia mencabar Samy Vellu presiden MIC itu untuk berdebat secara terbuka dengannya pada Ahad ini untuk membuktikan sepanjang 11 penggal menerajui parti India itu, Samy Vellu gagal menaikkan taraf hidup masyarakat India.

Semalam, Mugilan pada satu sidang akhbar di Petaling Jaya, berkata bahawa beliau sanggup berhadapan dengan apa-apa tindakan parti setelah merujuk kepada peguamnya. -mk


Samy langgar perjanjian, tiada surat pemecatan - Mugilan

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu telah memecat Timbalan Ketua Pemuda V. Mugilan, menurut sumber parti yang rapat.

Bagaimanapun, Mugilan yang semalam meminta Samy Vellu berundur dengan segera selepas presiden mengumumkan jadual persaraannya, berkata beliau masih lagi belum menerima sebarang surat daripada Samy Vellu.

Tetapi katanya beliau telah dihujani panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mengetahui mengenai pemecatannya daripada laporan berita.

Sekiranya disahkan, Samy Vellu telah melanggar perjanjian yang dibuat oleh mereka di Kuala Kubu Baru sebelum pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 26 April apabila presiden parti itu berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadapnya, kata Mugilan.

Mugilan berkata sekiranya beliau menerima notis rasmi, beliau akan merujuk perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Samy Vellu berkata saya telah sabotaj BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya kecil itu. Ini adalah tuduhan yang sangat serius kerana ia melibatkan seluruh BN. Jadi adalah lebih baik saya merujuk kepada PM berhubung perkara ini," katanya kepada Bernama.

Apabila dihubungi, beliau berkata berada di Tanjung Malim.

Pada Selasa, Samy Vellu mengumumkan beliau akan melepaskan jawatannya dalam tempoh lapan atau sembilan bulan sebelum penggalnya sekarang tamat pada Mei 2012.

Presiden MIC itu tidak dapat dihubungi untuk ulasan segera tetapi sumber rapat parti berkata beliau telah menggunakan kuasa presidennya untuk memecat Mugilan berkuatkuasa serta-merta.

Mugilan berkata isu yang mengatakan beliau telah mensabotaj parti dan BN ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak disentuh dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) minggu lepas.

"Sekiranya saya telah sabotaj, MIC mungkin telah hilang 3,000 pengundi. Malah, saya telah bekerja keras untuk memastikan undi India diberikan kepada BN," katanya.

Beliau juga menuduh Samy Vellu menganggap dirinya sebagai 'raja' kepada komuniti India.

"Beliau adalah diktator sekiranya memecat saya," kata Mugilan.

Mugilan berkata beliau dan Samy Vellu telah mengadakan perbincangan di pejabat MIC di Kuala Kubu Baru di mana presiden itu telah memintanya menyokong calon BN P. Kamalanathan dan jentera pilihan raya MIC.

Dan sebagai pertukarannya, Samy Vellu berjanji beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadapnya atas dakwaan sabotaj.

"Kami telah membuat perjanjian. Saya kata saya akan menyokong BN dan MIC. Jadi, apa yang berlaku sekarang? Beberapa minggu telah berlalu selepas pilihan raya kecil. Kenapa hanya sekarang beliau mengambil tindakan untuk memecat saya?," tanya Mugilan. -Bernama


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Samy Veloo bukan sahaja menipu kaum India tetapi dia menipu keseluruhan pemimpin dan anggota BN. Tamak kuasa adalah mainan Samy. Ha ha ha semua kena tipu. Apa yang didedahkan V. Mugilan mengenai Samy memang betul, bila tiba masanya nanti dia tak akan letak jawatan juga.