16 Mei 2010

Manikumar Tetap Bersama PR

Dakwaan yang disebar melalui propaganda terancang pihak tertentu, kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau bakal keluar parti, tidak benar dan berniat jahat.

Desas-desus ini dinafikan sendiri Adun berkenaa, S Manikumar yang menyifatkan ia sebagai fitnah untuk memecah-belahkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Khabar angin ini mula kedengaran selepas pihak tertentu menyebarkan spekulasi bahawa Kerajaan Negeri Kedah akan tumbang dalam satu operasi rampasan kuasa sepertimana yang berlaku di negeri Perak.

Selepas tindakan 3 Adun keluar dan menjadi wakil rakyat bebas, Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata Majlis Undangan Negeri Kedah akan dibubarkan bagi membuka jalan kepada pilihanraya baru sekiranya insiden yang sama berulang sekali-lagi.

Manikumar yang juga Exco Negeri Kedah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau mendalangi gerakan memecah-belahkan kerajaan negeri Kedah.

“Saya bagi jaminan, saya tegas dengan pendirian saya, saya tidak akan berganjak dari kerusi Pakatan Rakyat dikawasan Bukit Selambau.

Saya sayang rakyat yang telah undi saya, yang berjuang habis- habisan untuk saya, yang mengangkat saya menjadi wakil rakyat dikawasan ini,” kata Manikumar.

Pakatan Rakyat Kedah kini menguasai 20 kerusi dalam dewan undangan negeri iaitu 16 dari PAS, 3 PKR dan 1 DAP.

Manakala Barisan Nasional mempunyai 14 kerusi, kurang 3 kerusi untuk mendapat mandat majoriti mudah. -TVS

Tiada ulasan: