10 Mei 2010

Kes Aminulrasyid: Seorang Koperal Didakwa Hari Ini

Seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menyebabkan kematian Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak pada 26 April lalu.

Jenain dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Aminulrashid pada 26 April antara jam 1.10 pagi hingga 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

"Bahawa kamu pada 26 April jam antara 1.10 pagi dan 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 dalam Bandaraya Shah Alam di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah melakukan perbuatan ynag menyebabkan kematian Aminulrasyid bin Amzah (NO KP 950815-10-6869) dengan niat hendak menyebabkan kematian dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahab mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Jika didapati bersalah, kamu boleh dihukum dengan penjara hingga tempoh tiga puluh tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.”

Tertuduh berasal dari Sabah, adalah anak sulung daripada 7 beradik dan mula menyertai PDRM sejak 1985.

Dia dibawa ke perkarangan kompleks mahkamah ini kira-kira jam 11 pagi dengan diiringi sepasukan anggota polis

Kes ini mendapat tumpuan ramai berikutan mangsa baru berusia 15 tahun dan kematiannya yang disebabkan tembakan oleh anggota polis, mendapat kecaman pelbagai pihak yang bersimpati kepada keluarga mangsa.

Dalam kamar mahkamah, Timbalan Pendakwa raya, Mohammad Dusuki Mokhtar mencadangkan jumlah jamnan 35 ribu dengan seorang penjamin tetapi dibantah peguam bela, Salim Bashir yang meminta jumlahnya dikurangkan kepada RM7,000 atau RM8,000.

Menyatakan gaji anak guamnya dengan pangkat koperal sekitar RM3,000, Salim Bashir memberi alasan, tertuduh tidak berkemampuan kerana menanggung seorang isteri dan empat anak yang masih kecil.

Hakim M Gunalan kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes berkenaan disebut semula 10 Jun ini.

Aminulrasyid, remaja berusia 15 tahun mati ditembak pada 26 April lalu ketika dikejar peronda polis yang kemudian melepaskan empat tembakan dan satu daripadanya mengenai kepala mangsa.

Rakannya, Azamuddin Omar yang sebaya dengannya, terselamat apabila sempat melarikan diri dan kini menjadi saksi utama kes yang mendapat tumpuan dan kecaman segenap lapisan masyarakat.

Tiada ulasan: