1 Apr 2010

Bekas SU Politik Mahathir DiPenjarakan

Matthias Chang, bekas setiausaha politik kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dihantar ke Penjara Kajang hari ini untuk menjalani hukuman penjara atas kesalahan menghina mahkamah.

Peguam berusia 60 tahun itu dibawa ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tersebut.

Dia tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini kira-kira 9.30 pagi dengan diiringi 30 penyokong dan anggota keluarganya.

Pada Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu dan memberi tempoh seminggu untuk Chang membayar denda tersebut.

Dia didakwa menghina mahkamah selepas gagal memohon maaf kepada mahkamah selepas berbalah dengan hakim dan seorang peguam semasa soal balas dalam kes saman fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn. Bhd.

Semalam, Chang, 60, bersama penyokongnya, menunggu di Mahkamah Sivil di sini mulai 3 petang untuk mendapatkan perintah menyerahkan ke penjara disampaikan kepadanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar K. Pavanni hanya memaklumkan kepadanya kira-kira pukul 4.15 petang bahawa tempoh seminggu yang diarahkan oleh Noor Azian hanya tamat lewat petang.

Menurut prosedur mahkamah, perintah menyerahkan masuk ke penjara hanya boleh dikeluarkan pagi ini.

Jumaat lepas, Noor Azian juga membatalkan samannya dengan menyatakan Chang gagal membuktikan kes selepas mendengar keterangan saksi dari kedua-dua belah pihak serta penghujahan.

Chang, seorang peguam, telah menyaman American Express kerana melanggar perjanjian dan memfitnah kerana kad kreditnya digantung.

Dalam pembelaannya, American Express berkata tidak ada keterangan atau bukti mengenai pelanggaran perjanjian atau fitnah seperti didakwa oleh Chang.

Chang berkata beliau bersedia untuk dipenjarakan walaupun ahli Gabungan Persatuan Kwang Siew Malaysia telah mengumpul RM20,000 untuk membayar denda itu.

"Ini soal prinsip. Saya sanggup masuk penjara bagi membuktikan bahawa hakim tidak harus terlepas daripada sikap yang tidak beretika dan kelakuan yang tidak dapat diterima," katanya.

Chang mendakwa Noor Azian enggan menarik balik beberapa komen menghina terhadap peguamnya dalam saman sivil itu apabila mereka cuba menarik perhatian hakim kepada undang-undang relevan.

Tiada ulasan: