9 Apr 2010

AMK Minta ZulKulim Henti Tindakan Ala Syaitannya

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mendesak Ahli Parlimen (AP) Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menghentikan sikap dan tindakan ala syaitannya itu.

Berikutan siri 'pendedahan' Zulkifli yang mengaitkan pihak ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu, media pro-Barisan Nasional (BN) seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian kini galak menyiarkan pendedahan AP Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim.

Beliau kononnya telah dimaklumkan oleh Zulkifli bahawa pihak ketiga yang dimaksudkan ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK menerusi ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah memberikan respon terhadap perkara itu.

"Itu sama sekali berbeza dengan apa yang diceritakan oleh Zulkifli melalui wawancara Suara Keadilan Julai 2007 di mana beliau menegaskan bahawa penarikan diri beliau adalah disebabkan oleh tindakan Azilah yang mahu mengubah strategi pembelaan di saat akhir meskipun sebanyak 12 sesi konsultansi diadakan di antara beliau dan Azilah.

"Strategi Azilah, disifatkan Zulkifli, merosakkan strategi pembelaan yang dirancang lebih awal yang hanya memberi kelebihan dan perlindungan kepada 'pihak ketiga'," ujar Shamsul Iskandar dalam satu kenyataan medianya kepada erapakatan.com.

AMK mengegaskan sikap memutar belit cerita dan menimbulkan keraguan yang tidak munasabah adalah hanya satu unsur munafik yang menghampiri sikap syaitan.

Zulkifli pada 23 Mac 2010 yang lepas mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau ditawarkan ganjaran yang disifatkannya boleh menggoyah iman untuk mengaitkan Perdana Menteri, Najib Razak, dan isteri, Rosmah Mansor oleh 'pihak ketiga' yang tidak didedahkan.

Menurut Shamsul, Zulkifli sebagai seorang peguam, secara jelasnya menghina mahkamah dengan membenarkan kenyataan subjudis yang boleh mengganggu perjalanan mahkamah, dalam keadaan rayuan bagi kes ini masih berjalan.

Bagi Shamsul, apa yang menjadi persoalan adalah kenapa Zulkifli acapkali memberikan kenyataan yang samar dan meragukan?

"Sewajarnya sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab, beliau harus mendedahkan siapa pihak ketiga yang dimaksudkan sedari awal lagi, bukannya mewujudkan dua versi cerita yang berbeza mengikut iktikad politik beliau," menurut kenyataan Shamsul itu lagi.

Zulkifli sebelum ini tidak pernah mendedahkan sebarang nama pun, baik dalam cerita 'pihak ketiga' ini termasuklah seloka 'Firaun Kecil' yang menjadi mainan hujah beliau saban waktu.

Shamsul menyimpulkan bahawa, Zulkifli harus berhenti daripada meneruskan sikap berdolak-dalik seumpama ini. Jangan cemarkan imej Islamik yang dibawa beliau ke sana sini kerana ianya hanya menghampiri sikap syaitan yang sesat lagi menyesatkan umat manusia seluruhnya. -erapakatan

Tiada ulasan: