26 Mac 2010

Timbunan tarikh kes perbicaraan Anwar

Perbicaraan tuduhan liwat yang dihadapi Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim akan didengar semula pada 10 Mei depan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menetapkan tarikh-tarikh baru untuk pendengaran pusingan kedua yang akan di dengar dalam empat sesi yang berasingan sehingga 30 Ogos.

Tarikh-tarikh yang ditetapkan ialah di antara 10-14 Mei, 31 Mei – 4 Jun, 14-23 Julai dan 2-30 Ogos, berjumlah 39 hari kesemuanya, lapor Malaysiakini.

Perbicaraan akan disambung semula dengan soal balas terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan yang memberi keterangan di mahkamah bahawa Anwar membuat tawaran untuk mengadakan hubungan seks selepas beliau datang ke kondominium pada 2008 ketika menyerahkan dokumen.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu yang hadir di mahkamah hari ini, menyifatkan perbicaraan ini sebagai "busuk" dan "satu penghinaan".

"Perbicaraan ini tidak sepatutnya bermula. Dakwaan yang busuk ini, menghina, dirancang, sepatutnya tidak di adakan," kata Anwar kepada para pemberita di luar mahkamah.

Beliau berkata, "kes ini membazirkan wang rakyat dan masa orang ramai.

Perbicaraan ini memenuhi agenda politik mereka (Umno- Barisan Nasional) dengan menggunakan semua alat dan jentera kerajaan."

Anwar dipecat pada 1998 dan didapati bersalah atas dakwaan rasuah dan liwat tetapi dibebaskan pada 2004 selepas kes salah laku seks telah ditolak oleh mahkamah.

Pembebasan beliau membolehkan beliau kembali aktif di pentas politik sebagai pemimpin gagasan pembangkang yang semakin hari mendapat sokongan rakyat.

Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpengkalan di Amerika Syarikat pada hari Rabu menggesa Malaysia untuk menggugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar, mengutuknya sebagai ketidakadilan yang tidak berkesudahan.

"Mahkamah telah menghalang apa sahaja usaha yang diambil oleh para peguam Anwar untuk membuat persiapan teliti dalam pembelaan," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia Asia.

Presiden KEADILAN, Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim; Pengarah Strategik KEADILAN, Tian Chua; dan Menteri Besar Perak yang digulingkan, Mohammad Nizar Jamaluddin serta anak-anak perempuan Anwar turut hadir bagi memberi sokongan.



Tiada ulasan: