11 Mac 2010

Penahanan Mazlan Aliman : Pengurus Felda Balas Dendam

Penahanan Mazlan Alimin yaang ditahan polis ketika mengadakan sesi dialog dengan peneroka semalam, dipercayai ada kaitan dengan penyerahan memorandum kepada SUHAKAM dua minggu lalu.

Demikian telahan Pengerusi PKR Temerloh, Ahmad Nizam Hamid mengenai penahanan Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (ANAK) itu dalam satu program di Felda Lembah Klau, Raub, Pahang.

"Kita menganggap ni macam satu balas dendam," kata Ahmad.

Pakatan Rakyat Pahang kesal dengan tindakan itu kerana mereka cuma mahu membela nasib peneroka yang tertindas, bukannya melakukan jenayah.

TV Selangor difahamkan pengurus Felda memfailkan laporan polis mendakwa pencerobohan jenayah.

"Kita kesal dengan tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan Felda dan sepatutnya tidak berlaku dan ini menghalang kebebasan untuk berkumpul dan program itu dibuat di rumah peneroka, bukan di tempat awam seperti di balai raya atau di rumah peneroka," tegas beliau. -TVS

Anggota CC PAS dituduh ceroboh kawasan Felda

RAUB, 11 Mac — Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dibebaskan dengan bon polis RM3,000 pagi tadi selepas dikenakan tuduhan menceroboh kawasan Felda Lembah Klau, Selasa lepas kelmarin.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS didakwa mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan, yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan dan didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Mazlan tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Raub sekitar pukul 10.30 pagi dan dibebaskan setengah jam kemudian.

Selepas itu, Mazlan dibawa semula ke Ibu pejabat Polis Daerah Raub dipercayai bagi urusan dokumentasi dan pembebasan sepenuhnya.

Selasa lalu, Mazlan membuat lawatan ke Felda Lembah Klau untuk menziarahi tiga peneroka yang ditahan polis sebelum ini atas dakwaan menceroboh kawasan Empangan Krau serta mengadakan dialog dengan generasi kedua di Felda berkenaan.

Beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub petang itu ketika membuat laporan polis berikutan tindakan pengurusan Felda bekenaan yang cuba menahannya.

Beliau disambung reman semalam.

Mazlan merupakan aktivis yang memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan pengurusan Felda sejak beberapa tahun lalu.

Pada 24 Februari lalu, Anak meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan siasatan awam terhadap Felda kerana didakwa melakukan penindasan berterusan kepada peneroka.

Mazlan mengetuai kira-kira 200 peneroka tanah rancangan Felda dari Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor untuk menyerahkan memorandum kepada Suhakam berkenaan beberapa perlanggaran hak asasi dan ketidakadilan pengerusan Felda ke atas peneroka setelah lebih 50 tahun ia diwujudkan.

Memorandum tersebut mengandungi empat aduan daripada peneroka termasuk mengenai Akta Kawasan Tanah Berkelompok yang didakwa digunakan oleh kerajaan Umno/BN untuk mengongkong kebebasan para peneroka.
- MI



Mazlan nafi tangkapan ada kaitan ceramah di Johor
Ismail Hashim

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menafikan tangkapan terhadapnya ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan pekerja Felda makan duit haram, merompak duit peneroka dan sebagainya di dalam satu majlis ceramah di Johor.

"Tidak ada kena mengena," tegas Mazlan lagi menafikan dakwaan sebuah persatuan yang difahamkan mempunyai kaitan dengan Felda.

Kenyataan persatuan yang menyebutkan perkara itu disiarkan dalam satu siaran berita radio awal petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Mazlan telah dibebaskan setelah ditahan selama dua malam di Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub, Pahang.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika dihubungi baru sebentar berkata, beliau dalam perjalanan pulang ke Johor.

Menurutnya, beliau ditahan selepas menyertai majlis dialog di sebelah petang di Felda Lembah Klau pada 9 Mac lalu.

Katanya, selama dua malam itu, beliau ditahan di bawah Kanun Keseksaan Akta 441 ekoran didakwa kesalahan pencerobohan.

Insiden itu berlaku selepas Mazlan mengadakan satu majlis dialog di rumah sebuah peneroka di Felda berkenaan lalu ada seorang pegawai Felda datang menghalang kerana kononnya tidak mempunyai permit.

Peguam Haris Abdullah berkata, berlaku sedikit kekecohan ekoran tindakan pegawai Felda itu sedangkan tuan rumah telah membenarkan Mazlan berdialog dengan peneroka di situ.

"Mazlan ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam selepas membuat satu laporan polis di balai yang sama," katanya lagi.

Haris berkata, Mazlan membuat laporan berhubung satu kekecohan yang berlaku di tempat beliau mengadakan dialog dengan peneroka Felda Lembah Klau.

Beliau yang sudah berbelas tahun bergerak aktif di dalam memperjuangkan nasib peneroka Felda seluruh negara dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Raub sekitar jam 11 pagi tadi dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin. -harakahdaily


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pengaruh najib bimbang pahang jatuh kepada pakatan rakyat