30 Mac 2010

Najib Jadi Mangsa PERKASA, Slogan 1Malaysia Diperkosa

Mangsa pertama keperkasaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia ialah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini kerana maruah Najib sebagai pemimpin yang sepatutnya berwawasan membentuk sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu padu pada keseluruhannya bergantung kepada slogan yang dinamakan 1Malaysia, di mana Najib mengidamkan setiap warganya berasa selamat dan tidak khuatir akan hak kelahiran mereka dicabuli atau dinafikan oleh mana-mana pihak.

Beliau juga mahu melihat satu transformasi di mana setiap anak Malaysia akan berani dan yakin untuk tampil pada bila-bila masa walaupun di mana jua untuk mengisytiharkan diri mereka adalah bangsa Malaysia terlebih dahulu sebelum menitip hakikat mereka adalah dari keturunan apa dan lahir dari daerah mana di muka bumi Malaysia.

Namun tidak sampai setahun Najib menyemai janji dan mengerah kudrat dengan bantuan dalam dan luar negara (termasuk dari Israel) mimpi Najib disanggah oleh pihak yang ditimang-timangnya untuk menjadi taruhan demi mahu kekal menjadi pemimpin Melayu yang disalut slogan ‘tidak Melayu hilang di dunia’.

Kumpulan yang menamakan diri mereka Perkasa ini dengan lantang memaksa Najib supaya mendengar tuntutan mereka jika beliau benar-benar ingin dikenali sebagai pemimpin Melayu. Perjuangan songsang Perkasa rugikan Melayu Sabtu lalu, Perkasa tanpa segan-silu dan dengan begitu angkuh mengisytiharkan bahawa kehadiran mereka bukan untuk mencabar sesiapa, tetapi bagi mana-mana pihak yang dianggapnya ‘biadap’ terhadap pendiriannya, maka perlembangan perjuangan Perkasa, keris adalah galang gantinya. Hal ini jelas daripada amanat pembuka kata Perkasa, Dr Mahathir Mohamad yang menggariskan betapa dan mengapa Perkasa dianggapnya suara yang sah bagi orang-orang Melayu dan Islam di negara ini.

Malah bukan sekadar menggariskan sempadan keris dengan keharmonian hidup, Dr Mahathir juga mendedahkan mengapa Perkasa ada hak wujud dan mengambil pendirian seperti yang dituntutnya – demi kepentingan Melayu dan agama Islam, tegasnya. Perkasa baginya perlu wujud kerana kepimpinan Melayu hari ini lemah berpunca daripada pemimpin yang digelarnya pemimpin anjung (koridor atau kaki lima) yang gagal memperkasakan orang Melayu.

Menurutnya, inti perjuangan Perkasa ialah mengekal dan mengembangkan jati diri orang Melayu termasuk bahasa dan agamanya.

Namun yang menyedihkan, Dr Mahathir juga orangnya yang dengan tuntas, melalui dasar-dasar pemerintahannya dahulu menyanggah hakikat dan cuba menanam keyakinan orang Melayu bahawa bahasa Melayu yang menjadi jati diri mereka tidak ada nilai komersil dan tidak saintifik.

Sebab itu beliau bersungguh-sungguh tidak mahu bahasa Melayu dijadikan bahasa matematik dan sains. Bagaimana kuat dicabar dan didebat, Mahathir terus berdegil mahu bermain politik dengan rakyat bukan Melayu dan berusaha ‘membayar balik’ budi mereka kerana menyelamatkan Umno-Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya daripada kemarahan orang Melayu dalam pilihan raya umum kesepuluh pada tahun 1999.

Satu lagi ciri jati diri Melayu-Islam, turut diperlekehnya. Demi tunduk pada tekanan Amerika Syarikat yang menganggap sistem madrasah adalah sarang pengganas, Mahathir tergamak menarik bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat. Malah simbol budaya Melayu- Islam seperti purdah dan ketayap diharamkan daripada dipakai oleh kakitangan kerajaan.

Sejarah menyaksikan betapa kebiadapan beliau yang tercabut daripada tradisi, akal budi dan agama orang Melayu memecat, mencedera dan mengaibkan Anwar Ibrahim pada 1998 menjengkelkan hati dan naluri orang Melayu beragama Islam.

Kini melalui Perkasa, beliau menganggap tuntutan baru orang bukan Melayu pula biadap walhal kebiadapan bermula daripada sikap angkuh tetapi kerdil jiwa-nya kerana khuatir kedudukannya dicabar Anwar.

Inilah pusar perjuangan Perkasa. Dirobeknya Umno dan didesak supaya mencontohi ketegasannya. Dalam pada itu ia menggigit tangan Najib yang sejak mula penubuhannya menghulurkan sokongannya demi menjadikannya cagaran politik dan lantas memamah konsep 1Malaysia.

Kemudian Perkasa menggertak kaum lain jangan cuba mempersoalkan perjuangannya. Perkasa enggan menerima hakikat lanskap politik sudah berubah. Perlambangan keris yang dipikulnya juga sudah tidak sesuai dengan hala tuju Malaysia menjadi warga dunia yang sopan beradab.

Gertak menggertak adalah politik primitif yang seharusnya sudah lama dinyahkan dari kepentingan pribumi. Jika benar mahu memperkasakan Melayu, jadikan mereka masyarakat bertamadun.

Ukuran orang terdidik ialah ia mampu berdialog dan berkomunikasi dengan sesiapa pun. Perkasakan Melayu dengan beradab. Usah songsangkan erti perkasa dengan gertakan dan keris. – Minda Editor Suara Keadilan.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1 malaysia hanya slogan memperbodohkan rakyat

Tanpa Nama berkata...

apa beza perkasa dengan perkosa? dah lama Bahasa melayu diperkosa UMNO dalam pendidikan

Tanpa Nama berkata...

Ibrahim Ali nak sambung talian hayat politiknya yang orang ramai nampak di penghujungnya, manakala Dr. Mahathir nak tebus dosa dan nodanya zaman pemerintahannya. Ingat, ini zaman moden, bukan zaman dulu di mana yang kuat dan jahat dihormati orang. Pada zaman ini mereka berdua ni hilang kehormatan diri.

Tanpa Nama berkata...

hilang kehormatan diri sama ertinya dengan telah diperkosa oleh PERKASA.... padan dengan muka dia orang