8 Feb 2010

Toyota Panggil Balik 300,000 Prius

SSyarikat Toyota akan memanggil semula 300,000 kereta Prius hibrid ekoran masalah brek, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Berita itu merupakan tamparan hebat terhadap syarikat gergasi Jepun itu yang menghadapi masalah keselamatan sehingga mencemarkan reputasi syarikat berkenaan.

Tindakan memanggil balik itu akan menjejaskan model Prius iaitu sebuah kereta yang disayangi oleh bintang-bintang Hollywood dan aktivis alam sekitar.

Masalah kereta Prius itu merupakan tamparan terbaru terhadap Toyota selepas ia memanggil semula lapan juta unit kereta di seluruh dunia kerana masalah pedal minyak yang tersangkut pada karpet kenderaan.

Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan bahawa tindakan memanggil balik Prius dibuat untuk membaiki program perisian selepas sistem brek antikunci yang dicipta untuk mengelak kereta tergelincir dijangka menjejaskan kira-kira 270,000 kenderaan di Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

"Pihak syarikat telah memberitahu pihak pengedar di Jepun bahawa ia akan memanggil semula model baru Prius yang dijual di negara ini.

"Syarikat akan turut membaiki perisian tanpa sebarang bayaran di AS dan lain-lain negara," lapor akhbar berkenaan.

Akhbar itu melaporkan pihak syarikat akan membuat pengumuman rasmi pada minggu ini.

Sementara itu, akhbar Nikkei melaporkan syarikat Toyota akan membaiki kira-kira 30,000 kenderaan yang dijual di Eropah, China, Australia, Asia Barat dan beberapa wilayah lain.

Syarikat Toyota yang merupakan pembuat kereta No.1 dunia telah menjual lebih 300,000 model terbaru Prius di 60 buah negara sejak model terbaru dikeluarkan pada Mei lalu.

Kementerian Pengangkutan Jepun melaporkan ia menerima kira-kira 80 aduan pada bulan ini berhubung masalah brek tidak berfungsi selain meminta satu siasatan dilakukan.

Media tempatan melaporkan lima kes yang dilaporkan kepada kerajaan mempunyai kaitan dengan kemalangan.

Syarikat Toyota yang menyingkirkan General Motors untuk menjadi pembuat kereta No.1 dunia itu mengeluarkan 530,000 unit kereta hibrid pada 2009. - AFP

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

macam UMNO juga bermasaalah nak panggil rakyat, mana rakyat mau...