2 Feb 2010

Selcat : Ronnie Ditegur Perbaiki Pengurusan Peruntukan

Selcat hari ini membuktikan kritikan Umno-Barisan Nasional kononnya badan itu hanya mensasarkan wakil rakyat gabungan itu adalah meleset.

Badan itu meminta Adun Pandamaran yang juga ahli Exco kanan dari Pakatan Rakyat Ronnie Liu memberi penjelasan mengenai peruntukan lebih setengah juta ringgit yang diagihkan oleh pejabat beliau dalam tempoh enam bulan.

Ronnie sendiri berpendirian tindakan Selcat meminta penjelasan dari beliau mencerminkan kewibawaan badan itu dan beliau tidak bermasalah Selcat memerinchi peruntukan itu.

Ronnie adalah antara yang dipanggil oleh Selcat hari ini untuk menerangkan bagaimana dana awam berjumlah RM611,933 dibelanjakan dalam tempoh enam bulan lalu.

Adun Pandamaran itu menerima baik peluang berdepan dengan Selcat dan berkata semua pihak harus menerima hak Selcat untuk memerinchi perbelanjaan dana awam.

Meskipun disiasat dengan terperinci oleh anggota panel Selcat, Ronnie bersikap professional dan berharap jawapannya dapat membantu siasatan Selcat.

“Pada keseluruhannya saya berpuas hati dan Selcat merupakan satu-satunya jawatankuasa yang Exco kita sendiri yang memberi kelulusan dan mengharapkan Selcat menjalankan tugas untuk ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan jadi kita setujulah, saya harap Selcat berpuashati dengan jawapan yang saya bagi tadi”, jelas Ronnie kepada pemberita.

Ronnie memberitahu Selcat bahawa 40 daripada 168 permohonan untuk peruntukan itu dibuat oleh badan-badan keagaamaan dan persatuan.

“Hanya persatuan yang benar-benar memerlukan bantuan saya minta daripada saya kerana ini akan berulang dan tidak salah persatuan-persatuan ini pergi kepada Adun-Adun yang lain, kalau dia pergi kepada Adun yang lain, benda ini akan diseimbangkan, tapi ini tidak bermakna saya akan tolak mana-mana permohonan saya akan teruskan memberi sumbangan”, katanya lagi.

Pengagihan bantuan oleh pejabat ahli EXCO ini kepada pihak yang memerlukannya tidak menimbulkan sebarang bantahan.

Namun Ronnie akur dengan keperluan untuk menepati segala keperluan birokasi demi memastikan ketelusan dalam setiap urusan.

“Setiap ringgit setiap sen yang saya janji kepada persatuan ataupun perbadanan agama ataupun individu memang telah sampai, sampai hari ini tak terima apa-apa aduan katakan wang tak sampai, dan saya memang berhasrat untuk menambahbaikan cara pengagihan peruntukan tetapi saya kena memberitahu media bahawa tekanan kepada saya sebagai Exco di kawasan Klang ini memang agak luar biasa”, ujarnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)


Tiada ulasan: